BOTA – Jenazah lima mangsa yang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan di sini, awal pagi ini.
Jenazah Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, termasuk adik kepada Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, dibawa dari Jerantut, Pahang dan tiba ke Masjid Jamek Bota Kanan di sini untuk disembahyangkan kira-kira 12.30 tengah malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah turut berada di masjid berkenaan.
Sementara itu, suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga, saudara dan sahabat handai mangsa.
Kesemua jenazah selamat dikebumikan pada jam 1.45 pagi tadi.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad mengesahkan kejadian membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Toyota Alphard berlaku sekitar 12 tengah malam semalam di jalan tersebut.
Beliau berkata, semua lima mangsa yang maut menaiki Perodua Bezza iaitu Muhammad Ikmal, isterinya Nur Arfiqah serta adik iparnya Mohammad
Zulkifli, Mohamad Azizul Hakimi dan Nurul Hazwani. – BERNAMA
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
