KUALA LUMPUR – Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan lokasi terakhir lelaki warga United Kingdom (UK) dikesan sebelum dilaporkan hilang sejak 27 Mei lalu adalah di Bangsar di sini.
Susulan laporan kehilangan Jordan Michael John Johnson-Doyle, 25, oleh bapanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, 2 Jun lalu, beliau berkata, polis telah menjalankan operasi besar-besaran di sekitar lokasi berkenaan.
“Pada jam 4 petang semalam, juga kita menjalankan operasi melibatkan 30 anggota dikerah ke sebuah tapak pembinaan di Lorong Maarof dan pada 5 petang, satu mayat telah dijumpai.
“Namun, saya ingin menegaskan identiti mayat itu belum lagi dapat dikenal pasti kerana proses tersebut akan mengambil sedikit masa.
“Tempat di mana mayat itu dijumpai agak tersorok dan berada di kawasan agak sukar untuk dibawa keluar. Jadi, saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi sama ada berkaitan dengan kehilangan orang hilang yang dilaporkan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Tinjauan Bernama mendapati pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan Polis Kuala Lumpur serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai berada di tapak pembinaan itu.
Mayat dipercayai seorang lelaki warga asing itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan pakaiannya sudah hampir terlucut di lubang Shaft Lif aras bawah di tapak pembinaan itu.
Ku Mashariman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), manakala punca kematian masih dalam siasatan.
Mayat dibawa keluar kira-kira jam 9.30 malam dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat dan pengecaman mayat. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001