SERIAN – UMNO sudah menerima surat peletakan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dimaklumkan mengenai penerimaan surat yang dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan itu pada pagi ini.
“Ketika berita mengenai pengumuman Tengku Zafrul keluar UMNO tersebar malam tadi, memang tiada surat rasmi saya terima, begitu juga Setiausaha Agung (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) dan Setiausaha Kerja.
“Pagi ini saya tanya lagi, surat itu sudah dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO dan disahkan diterima,” katanya dipetik Berita Harian pada sidang media selepas perasmian Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra Gawai Peringkat RISDA Negeri Sarawak 2025 di Kampung Raeh Baru, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, susulan tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu keluar parti, beliau mengharapkan Kerajaan Perpaduan memberi satu jawatan menteri kepada UMNO bagi mencukupkan kuota tujuh menteri yang diperuntukkan sebelum ini.
“Sekarang UMNO tinggal enam menteri dan jika kuasa mutlak dilaksanakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri dan dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO, maka layaklah UMNO memohon satu kerusi menjadi menteri penuh untuk mencukupkan jumlahnya kepada tujuh,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, ketika Tengku Zafrul dilantik menjadi menteri pada 2020, kerajaan (pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika itu tidak merujuk beliau mewakili UMNO.
“Selepas itu (berlaku pertukaran kerajaan) apabila salah seorang Naib Presiden UMNO waktu itu menjadi Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang ketika itu kuotanya dikatakan daripada UMNO dan kemudian dalam Kerajaan MADANI seolah-olah beliau dilantik mewakili UMNO.
“Walaupun kita tidak pasti ketika itu sama ada pelantikan Tengku Zafrul atas kapasiti UMNO atau sebaliknya, anggapan kita ia daripada UMNO, malah beliau mendakwa menjadi ahli UMNO Lembah Pantai sejak 1997,” katanya.
Mengenai cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya Tengku Zafrul dikenakan denda RM100 juta kerana melompat parti, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dirujuk kepada penasihat undang-undang parti.
Akujanji ditandatangani oleh calon UMNO yang bertanding di kawasan Parlimen pada pilihan raya lalu, namun Tengku Zafrul tewas sebelum dilantik semula sebagai Senator.
“Saya akan teliti dengan penasihat undang undang UMNO sama ada kes beliau ini tertakluk kepada akujanji itu atau sebaliknya dan saya akan maklumkan,” katanya.
Ahmad Zahid tidak terkejut dengan pengumuman Tengku Zafrul di media sosial semalam kerana sudah dibincang pada sidang Parlimen tiga bulan yang lalu, namun Presiden UMNO itu tetap menganggap tindakan berkenaan sebagai tidak beretika.
“Saya tidak ada masalah beliau keluar tetapi kita harus tahu oleh kerana kita berada dalam Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI, adalah tidak beretika jika parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima kemasukan parti anggota Kerajaan MADANI, tidak beretika.
“Dalam hal ini, kenyataan Setiausaha Agung UMNO (malam tadi) adalah kenyataan rasmi dan pendirian pimpinan UMNO,” katanya.
Asyraf Wajdi dalam kenyataan itu berkata, adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain sewenang-wenangnya.
Ia bagi mengelak berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan sehingga tercetus prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap setiakawan, keikhlasan serta kejujuran ahli akar umbi. – BH
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001