KUALA LUMPUR – Peguam keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin mempersoalkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa agensi itu sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik Allahyarham dan keluarga.
Peguam Rajesh Nagarajan mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.
Berita Harian melaporkan Rajesh sebagai berkata, ia kerana Allahyarham Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.
“Atas dasar apakah asetnya, yang kini ditadbir oleh harta pusakanya, boleh dirampas? Adakah SPRM mendapatkan dan menerima nasihat undang-undang sebelum membuat kenyataan demikian?
“Adakah Peguam Negara telah dirujuk dan adakah beliau meluluskannya?
“Ia adalah di luar jangkaan akal bahawa seorang ketua badan penguat kuasa akan mendedahkan agensi itu kepada cemuhan dengan membuat kenyataan jahil tanpa sebarang asas undang-undang, “katanya.
Peguam itu berkata, ia adalah prinsip asas sistem keadilan bahawa SPRM dan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk sewenang-wenangnya merampas harta mana-mana warganegara atau harta pusakanya apabila berlaku kematian.
Beliau berkata, pelucutan hak aset hanya dibenarkan jika ‘kesalahan serius’ seperti yang ditakrifkan dalam Jadual Kedua Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 telah dibuktikan di mahkamah, dan menurut perintah mahkamah.
Katanya, tiada pertuduhan seperti itu pernah dikenakan ke atas Daim, kecuali kesalahan teknikal tidak mengisytiharkan aset iaitu bukan ‘kesalahan berat’.
“Pelucutan hak harta sudah tentu tidak boleh dilakukan ke atas tuntutan terbaru yang didakwa bukan pengisytiharan aset, yang dibuat oleh Azam semalam.
“Dengan kata lain, harta rakyat tidak boleh dilucuthak begitu sahaja kerana SPRM atau kerajaan mendakwa mempunyai syak wasangka mengenai sumber atau asal usul aset berkenaan.
“Jika itu berlaku, tiada harta sesiapa pun akan selamat. Sejak Anwar Ibrahim (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengecam secara terbuka terhadap Tun Daim selepas mengambil alih kuasa pada November 2022, tiada sedikit pun bukti telah dihasilkan bagi menyokong dakwaan bahawa Tun Daim bersalah kerana rasuah,” katanya. – BHNews
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001