PM Anwar undi kepemimpinan baharu PKR

JOHOR BAHRU – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal bagi pemilihan kepimpinan pusat parti di Berjaya Waterfront Hotel, di sini hari ini.

Beliau yang juga Perdana Menteri tiba pada jam 12.07 tengah hari diiringi Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir di pusat pengundian itu yang menjadi lokasi berlangsungnya Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2024/2025 ialah Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil; dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Dr. Wan Azizah turut menunaikan tanggungjawab mengundi.

Selesai mengundi, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra bersama perwakilan PKR serta petugas.

Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat PKR berlangsung hari ini merangkumi pemilihan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita, yang bermula dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang.

Seramai 32,030 perwakilan layak mengundi merangkumi 22,936 secara dalam talian dan 9,094 secara fizikal.

Selain Berjaya Waterfront Hotel, pengundian fizikal turut diadakan di Kongres Wanita PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini manakala bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilakukan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di Penampang serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching.

Pemilihan kali ini menyaksikan 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan melibatkan 104 pencalonan bagi MPP, 85 calon bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 Majlis Pimpinan Wanita.

Perdana Menteri tidak dicabar bagi jawatan Presiden, manakala jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli selaku penyandang.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, 12 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk empat penyandang, iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam); Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan); dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Selain itu, Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan turut tidak dicabar bagi jawatan Ketua AMK, manakala jawatan Ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ketua Wanita yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Dr. Zaliha sebelum ini berkata, keputusan pemilihan kepimpinan baharu dijangka diketahui paling awal malam ini atau jam 2.30 petang esok.

Pada jam 9.25 malam ini, Anwar dijadual merasmikan Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini dengan dihadiri barisan kepemimpinan parti dan perwakilan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *