Oleh: Mazlan Syafie
Hari ini, keamanan dunia bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada diplomasi atau rundingan meja bulat. Ia bergantung kepada satu perkara yang amat menakutkan iaitu butang merah yang belum ditekan. Dan negara yang paling hampir dengan butang itu ialah Amerika Syarikat.
Setakat 2025, terdapat sembilan negara yang secara rasmi diakui memiliki senjata nuklear: Amerika Syarikat, Rusia, China, United Kingdom, Perancis, India, Pakistan, Korea Utara, dan Israel.
Kesemua mereka memiliki keupayaan untuk melancarkan serangan yang boleh mengubah landskap dunia dalam masa kurang satu jam. Namun, jika ditanya siapa paling dominan dari segi teknologi, logistik dan capaian global, jawapannya adalah Amerika.
Amerika Syarikat kini memiliki lebih 5,000 kepala peledak nuklear. Daripada jumlah itu, lebih 1,700 dilaporkan dalam status “dikerahkan”, iaitu bersedia untuk digunakan secara aktif.
Ia boleh dilancarkan dari daratan (melalui peluru berpandu balistik antara benua), dari udara (melalui pesawat pengebom strategik seperti B-52 atau B-2), atau dari lautan (melalui kapal selam bersenjata nuklear seperti Ohio-class).
Inilah yang dikenali sebagai “triad nuklear”, sistem pelancaran tiga penjuru yang memastikan Amerika sentiasa bersedia tanpa bergantung pada satu medium sahaja.
Namun, kekuatan nuklear Amerika tidak terhad kepada jumlah senjata. Ia datang bersama seluruh ekosistem pertahanan global. Rangkaian satelit dan radar mereka memantau dunia 24 jam sehari.
Manakala, pangkalan tentera Amerika tersebar di lebih 70 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Jerman, Guam, Qatar, dan Diego Garcia yang membentuk “payung keselamatan” yang bukan sekadar melindungi sekutu, tetapi juga mengekalkan kepentingan strategik mereka.
Amerika bukan sahaja negara pertama yang mencipta bom atom. Mereka juga satu-satunya negara yang pernah menggunakannya dalam peperangan iaitu di Hiroshima dan Nagasaki, Ogos 1945.
Dua letupan itu bukan sekadar pengakhiran Perang Dunia Kedua, tetapi juga permulaan kepada dominasi global Amerika yang dibina di atas kuasa nuklear. Dari situlah munculnya doktrin ketenteraan Amerika: bahawa kekuatan adalah bahasa diplomasi yang paling difahami dunia.
Rusia, walaupun memiliki jumlah kepala peledak yang lebih tinggi di atas kertas namun mereka tidak mempunyai rangkaian pangkalan global seperti Amerika. Manakala China pula baru membina kekuatan triadnya secara lebih agresif sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini menjadikan Amerika satu-satunya kuasa nuklear yang benar-benar mempunyai keupayaan melancarkan serangan dari mana-mana penjuru dunia dalam masa yang singkat.
Bagi kita di Malaysia, semua ini mungkin kelihatan macam takde kaitan. Tapi realitinya, dunia hari ini terlalu berbeza dan semua ekosistem bersambung serta berkait antara satu sama lain.
Satu pelancaran peluru berpandu di Lautan Pasifik atau Asia Barat pun sudah cukup untuk menjatuhkan bursa saham, menghentikan laluan perdagangan global, dan menyebabkan krisis tenaga atau makanan yang boleh melumpuhkan ekonomi negara kecil.
Kita sedang hidup dalam era yang ditentukan oleh pertimbangan sembilan negara sahaja dan secara praktikalnya, oleh kehendak Amerika dan sekutunya.
Selagi dunia tunduk kepada keseimbangan yang dijaga oleh senjata pemusnah besar-besaran ini, selagi itulah kita berada di bawah bayang-bayang kehancuran yang boleh berlaku tanpa amaran.
Namun, kekuatan hari ini tidak lagi hanya bergantung kepada senjata. Negara-negara kecil perlu membina pertahanan dalam bentuk lain seperti ekonomi yang kukuh, teknologi yang mampan, diplomasi yang cerdas, dan solidariti rakyat yang tinggi. Supaya apabila kuasa besar bermain api, kita tidak jadi arang pertama yang hangus.
Amerika Syarikat mungkin dilihat sebagai “polis dunia”, tetapi ia juga pemegang kunci kepada bencana yang tidak boleh dipulihkan.
Dan sistem dunia hari ini daripada dolar, kepada data, kepada naratif geopolitik semuanya dirangka dan dijaga oleh satu kuasa yang sangat memahami bagaimana menguasai bukan hanya fizikal, tetapi juga minda manusia sejagat.
Itulah realiti yang didedahkan dalam buku “Amerika: Penguasa Dunia Baharu” dari sejarahnya sebagai tanah pelarian, kepada transformasi menjadi empayar moden yang menggenggam dunia melalui senjata, ekonomi dan budaya. Buku ini bukan hanya kronologi sejarah, tetapi cermin kepada dunia yang kita sedang diami hari ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001 atau 010-8942252