PENJAYA Menerajui Transformasi Digital: Laman Web Rasmi Dilancarkan dengan Dashboard Data Kukuh untuk Penjaja dan Peniaga Kecil

PUTRAJAYA – Kejayaan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (PENJAYA) dalam membangun dan mewujudkan pangkalan data yang boleh diyakini untuk golongan itu kini direalisasikan melalui pelancaran Dashboard PENJAYA, hasil kerjasama strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

PENJAYA, yang didaftarkan secara rasmi pada 2012, kini melangkah ke fasa baharu pembangunan dengan pelancaran laman web rasminya yang pertama, www.penjaya.org.

Menurut Presidennya, Juhaidi Yean Abdullah, detik bersejarah itu menjadi penanda aras kepada pemerkasaan digital komuniti peniaga kecil dengan penekanan terhadap pendekatan berasaskan data.

Katanya, dengan lebih 320 ahli aktif, PENJAYA mewakili peniaga yang beroperasi di sekitar Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Persatuan itu juga, kata beliau, bernaung di bawah Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

“Saya diberi tanggungjawab dan amanah untuk memimpin PENJAYA dan kini menuju masa depan yang lebih strategik, tersusun serta profesional.

“Kerjasama strategik dengan DOSM melibatkan proses selama enam bulan merangkumi kaedah bancian saintifik, konsultasi pelbagai peringkat dan pemurnian data yang menyeluruh.

“Hasilnya, PENJAYA kini memiliki pangkalan data yang sahih, terverifikasi dan tidak boleh dipertikai, sekali gus meletakkan persatuan ini sebagai peneraju digital dalam kalangan persatuan penjaja di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai peranan dan fungsi laman web, Juhaidi berkata, ia berfungsi sebagai dashboard yang memaparkan data peniaga, ruang pengiklanan, pengumuman aktiviti dan notis rasmi.

Ujarnya, urusan bersama ahli, pihak berkuasa tempatan dan agensi luar kini boleh dijalankan dengan lebih efisien dan pantas melalui maklumat yang lebih tersusun dan mudah dicapai.

“Dengan pelancaran ini, PENJAYA memasuki fasa baharu sebagai organisasi berasaskan data yang profesional, diyakini serta memiliki capaian digital yang meluas.

“Pendigitalan ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah meningkatkan keberkesanan pengurusan maklumat secara masa nyata.

“Langkah ini juga selari dengan inisiatif penjenamaan semula PENJAYA melalui pengenalan logo dan slogan baharu yang bertujuan memperkukuh identiti di kalangan ahli serta mempertingkat pengaruh di peringkat kebangsaan melalui GPPPKMM,” katanya.

Beliau turut berkata, dengan gabungan teknologi dan strategi itu, PENJAYA bersedia menjadi penanda aras kepada persatuan penjaja masa hadapan, mewakili ketelusan, keberkesanan dan kepercayaan dalam era digital.

Katanya, untuk maklumat lanjut, sila layari www.penjaya.org atau hubungi di info@penjaya.org. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *