APA motif Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan kepada media, yang dia dakwa hantar kepada dua orang sahaja ‘surat rahsia’ untuk memaklumkan dia menolak daripada hadir merasmikan Kongres Wanita dan AMK parti itu?
Dua orang yang dimaksudkan Rafizi ialah bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden dan Fuziah Salleh selaku Setiausaha Agung PKR.
Makna Rafizi dalam bab bocor membocor ini ialah, kalau tidak pejabat Anwar, sudah tentu pejabat Setiausaha Agung. Tidak ada orang lain, atau pihak lain lagi kalau tidak salah satu dari dua orang ini.
Mudahnya dia menuding jari kepada kedua-dua pemimpinnya sendiri. Asalkan boleh selamatkan diri, dia akan letakkan kesalahan kepada salah satu dari mereka ini.
Sedangkan, dia lupa. Semestinya sayap Wanita dan AMK akan dimaklumkan akan keengganannya merasmikan kongres kedua-dua sayap itu, supaya mereka dapat membuat persediaan mencari pemimpin lain menyempurnakan perasmian sayap mereka.
Ini bukan soal surat itu dibocorkan. Ini soal urusan parti. Sayap parti perlu dimaklumkan lebih awal akan hasrat dan keputusan ‘rahsia’ Rafizi untuk tidak hadir merasmikan kongres itu.
Bagaimana nanti, kalau sayap Wanita dan AMK tidak dimaklumkan akan ketidakhadiran dia untuk merasmikan kongres mereka? Tentulah Wanita dan AMK mengamuk histeria kerana Presiden tahu, Setiausaha Agung pun tahu, tetapi tidak diberitahu.
Jadi, tidak timbul soal bocor. Pemakluman ketidakhadiran dia ini dah tentu meniti dari mulut ke mulut perwakilan Wanita dan AMK sehingga sampai ke telinga orang-orang media.
Ini sebenarnya yang berlaku. Rafizi tak bolehlah melenting tak tentu pasal, tuduh orang lain sengaja bocorkan rahsianya. Tindakannya konon nak ‘menjawab’ pendedahan media mengenai surat itu, menampakkan lagi kelemahan kepimpinan dalam PKR.
Lebih-lebih lagi nama Presiden dikaitkan dengan surat itu. Ini menunjukkan pucuk pimpinan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kerahsiaan parti.
Dan, kenapa dia selaku Timbalan Presiden tak mahu hadir untuk merasmikan Kongres Wanita dan AMK? Sedangkan, itu tanggungjawab dia. Malah, mana-mana parti pun, yang merasmikan kongres atau himpunan sayap ialah Timbalan Presiden, orang nombor dua selepas Presiden.
Jadi peliklah juga, Timbalan Presiden tak mahu rasmi kongres sayap. Sebagai orang yang dah matang dalam politik, jangan tunjuk ketidakmatangan kepada ahli. Nanti tak pasal-pasal kena kecam.
Tambahan pula, semalam Ketua AMK, Adam Adli tampil mengesahkan, dia juga ada terima surat pemakluman daripada Rafizi berhubung ketidakhadirannya merasmikan kongres sayap itu.
Cuma, setakat ini Ketua Wanita PKR tidak memaklumkan sama ada mereka juga ada menerima surat pemakluman itu atau sebaliknya. Jadi, setakat ini juga, tiga orang, bukan dua orang yang terima surat itu. Atau mungkin empat orang, kalau Wanita buka mulut membuat pengesahan.
Sebenarnya, kes ini kecil sahaja dan tidak akan menjadi isu pun kalau empunya badan awal-awal lagi berbincang secara harmoni dengan Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Wanita mahupun Ketua AMK, menyatakan dari hati ke hati kenapa dia tak mahu hadir rasmi dua kongres berkenaan.
Tapi, kerana ketidakmatangan, perkara kecil jadi besar. Yang bukan isu tiba-tiba menjadi isu besar dan panas. Ini menampakkan lagi kehuruharaan kepemimpinan dalam parti. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001