Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan muslim di majlis non muslim

Sesi khas Parlimen Tarif timbal balas AS ke arah konsesus nasional

Oleh: Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof

SESI khas sidang Parlimen kali ini agak unik kerana rata-rata perbahasan dalam isu ini menarik Ahli-Ahli Parlimen ke arah konsensus nasional.

Ini bermakna isu ini menghimpunkan semua pihak rentas blok politik ke arah satu naratif besar, iaitu mempertahankan maruah dan kehormatan negara.

Ini adalah satu contoh bahawa secara domestik, peluang kedaulatan ekonomi yang terjejas mampu menyatukan ahli politik yang dilihat selama ini punca kepada perpecahan.

Ucapan back-benchers (Ahli-Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan) dan Ketua Pembangkang mewakili hasrat konsensus ini di mana asas konsensus ini berligar seputar memelihara kepentingan nasional seperti kedaulatan undang-undang negara, kedaulatan menentukan kepentingan pemain industri tempatan dan kebajikan rakyat.

Parlimen turut sama secara konsensus melihat perlunya peluang platform baharu yang lebih terbuka serta mengukuhkan hubungan pasaran ekonomi ASEAN + China + Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan antara negara-negara ASEAN.

Selain itu, semua pihak bersetuju bahawa Malaysia harus mengambil sikap diplomatik dalam rundingan bagi mengimbangi sikap terbuka dalam peperangan perdagangan Amerika-China.

Kedua-duanya adalah rakan utama perdagangan Malaysia, dan ia satu perkara yang perlu ditangani umpama menarik “rambut dalam tepung”

Saya melihat perbahasan hari ini di Dewan Rakyat membawa isyarat yang baik di sebalik krisis adanya peluang untuk memperkukuhkan konsensus politik di peringkat nasional.

Malah, idealisme konsep perpaduan harus diterjemahkan kepada konsensus lain seperti dalam isu-isu 3R, isu-isu kebajikan rakyat dan isu keselamatan negara.

Kita pernah melalui konsensus dalam isu pandemik Covid 19 walaupun ada juga pihak yang mengambil kesempatan politik untuk menggugat demokrasi berparlimen.

Pasca PRU15 memberi peluang kepada lahirnya konsensus politik tetapi tidak dapat memenuhi keseluruhan titah Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu.

Apakah perbahasan tarif sebagai reaksi terhadap tindakbalas Presiden Donald J. Trump di Parlimen hari ini satu peluang mencetuskan konsensus dan menyatukan ahli-ahli politik untuk menjamin kestabilan dan kedaulatan negara?

Jikalau semua blok politik dapat mendidik penyokong masing-masing dengan naratif yang mereka sampaikan dalam sesi Parlimen hari ini, politik kita akan menjadi lebih matang, objektif dan menuju ke titik tengah yang sangat diperlukan hari ini.

Penulis, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Ahli Dewan Negara yang juga Timbalan Presiden AMANAH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *