Nombor dua tertinggi Asia

Kuala Lumpur: Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar pemilikan kenderaan tertinggi dengan 535 unit bagi setiap 1,000 orang.

Data dikeluarkan Seasia.co pada 2023 itu sekali gus merekodkan Malaysia sebagai negara kedua pemilikan kenderaan tertinggi di Asia selepas Jepun.

Malah, kajian Rakuten Insight pada 2024 mendapati kira-kira 73 peratus responden di negara ini memiliki kereta sekali gus menunjukkan tahap pemilikan kereta yang tinggi dalam kalangan pengguna.

Selain itu, statistik data.gov.my setakat 28 Februari lalu merekodkan 113,136 kenderaan persendirian didaftarkan pada tahun ini, dengan Perodua dan Proton masing-masing mencatatkan 54,627 unit dan 20,756 unit diikuti Toyota (15,407) serta Honda (10,866).

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata, pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya di negara ini disebabkan beberapa faktor saling berkait seperti harga petrol yang relatif rendah serta kenderaan semakin mampu dimiliki lebih ramai rakyat Malaysia.

Ini kerana katanya, pengeluar kereta tempatan muncul sebagai pilihan popular pengguna di Malaysia antaranya dengan faktor penawaran harga lebih rendah berbanding jenama antarabangsa.

“Keadaan ini membolehkan lebih ramai individu membeli kenderaan peribadi yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.

“Pada masa sama, reka bentuk infrastruktur jalan kini sering kali tidak mampu menampung aliran trafik yang terdiri daripada motosikal, lori dan kereta dalam satu jalan sama hingga menyebabkan aliran trafik tidak efisien terutama pada waktu puncak dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, kawasan seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Melaka, kesesakan teruk berlaku akibat daripada tumpuan aktiviti ekonomi dan kawasan kediaman semakin padat.

“Kekurangan kapasiti jalan raya untuk menampung pertambahan kenderaan ini menyebabkan pembentukan bottleneck atau kesesakan yang lebih teruk di kawasan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, salah satu faktor utama yang menyebabkan orang ramai terus bergantung kepada kenderaan persendirian disebabkan sistem pengangkutan awam kurang efisien dan terhad liputannya.

“Ini menyebabkan ramai orang lebih memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri kerana alternatif pengangkutan awam yang tidak mencukupi atau tidak sampai ke tempat yang mereka perlukan.

“Selain itu, kebanyakan aktiviti harian dan perniagaan tertumpu di beberapa bandar utama yang menyebabkan lebih ramai orang menggunakan kenderaan (sendiri) untuk ke tempat kerja atau menjalankan urusan harian mereka.

“Keadaan ini menambahkan lagi kesesakan terutama di bandar besar, memandangkan lebih ramai orang mengguna jalan sama pada waktu yang serentak,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan sistem pengangkutan awam ditingkatkan supaya lebih efisien dan meliputi kawasan lebih luas sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

“Perkhidmatan bas, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan sistem pengangkutan alternatif lain perlu diperluas untuk memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai.

“Kapasiti rangkaian jalan raya perlu dipertingkatkan dan memperluas jaringan lebuh raya serta menyelesaikan masalah ‘bottleneck’ di kawasan yang sesak sekali gus dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar utama.

“Selain itu, program ‘car pool’ atau perkongsian kenderaan juga boleh membantu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dengan tetap memenuhi keperluan pengangkutan orang ramai. Ini boleh mengurangkan kesesakan dan juga memberi faedah ekonomi kepada penggunanya,” katanya.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan sistem pengurusan lampu isyarat pintar untuk membantu memperbaiki aliran trafik di jalan raya.

“Sistem ini boleh mengawal masa lampu isyarat secara lebih efisien mengikut corak trafik yang berlaku pada waktu tertentu, seterusnya mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Selain itu, galakkan pembangunan lebih seimbang dan lestari di luar kawasan bandar utama, di mana infrastruktur juga dipertingkatkan sekali gus dapat mengurangkan penumpuan trafik di bandar utama.

“Jika lebih banyak peluang pekerjaan dan kemudahan disediakan di luar bandar besar, ia akan mengurangkan kesesakan jalan raya di bandar utama seperti Lembah Klang,” katanya. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *