TAPAH – Seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat esok.
Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal jam 4 petang.
Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Merdeka di sini.
Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca diramalkan cerah pada sebelah pagi, manakala ribut petir dijangka berlaku pada petang.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek; dan calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Mohamad Yusri akan mengundi di SK Sungai Lesong, manakala Abd. Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
Selasa lalu, 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi ketika proses pengundian awal PRK berkenaan.
Pada PRK itu, 601 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan 1,114 anggota polis bertugas bagi membantu melancarkan proses pengundian.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.
Ayer Kuning ialah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Tapah.
Ini adalah PRK kesebelas selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor).
– BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001