Hamas didesak bebaskan tebusan Gaza selepas serangan terbaharu Israel ragut 25 nyawa

GAZA CITY – Presiden Palestin, Mahmud Abbas menggesa Hamas membebaskan semua tebusan, dengan menyatakan bahawa tindakan menyimpan golongan itu memberi ‘alasan’ kepada Israel untuk terus menyerang Gaza.

Serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang di seluruh wilayah yang dikepung itu, sementara Jerman, Perancis dan Britain menggesa Israel menamatkan sekatan bantuan kemanusiaan.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza disambung semula pada 18 Mac, menamatkan gencatan senjata yang sebelum ini berjaya menenangkan keadaan dan menyaksikan pembebasan 33 tebusan sebagai pertukaran kepada sekitar 1,800 tahanan Palestin.

Rundingan untuk gencatan senjata baharu setakat ini masih menemui jalan buntu, namun delegasi Hamas kini berada di Kaherah untuk meneruskan perbincangan bersama perantara Mesir dan Qatar.

“Hamas memberikan alasan kepada penjajah penjenayah untuk terus melakukan jenayah di Semenanjung Gaza, antaranya dengan menahan tebusan,” kata Abbas dalam satu kenyataan di Ramallah, ibu pejabat Autoriti Palestin (PA) di Tebing Barat yang diduduki Israel.

“Saya yang menanggung akibatnya, rakyat kita yang menderita, bukannya Israel. Saudaraku, serahkan sahaja mereka.

“Setiap hari ada yang terbunuh,” tambah Abbas.

“Kamu anak anjing, serahkan apa yang kamu ada dan keluarkan kami dari penderitaan ini,” katanya lagi, menggunakan kata-kata kecaman keras terhadap Hamas.

Kenyataan itu dianggap ‘menghina’ oleh pegawai kanan Hamas, Bassem Naim.

“Abbas secara berulang kali dan mencurigakan menyalahkan rakyatnya sendiri atas jenayah dan pencerobohan yang berterusan dilakukan oleh penjajah,” katanya.

Hubungan antara Parti Fatah pimpinan Abbas dan Hamas menjadi renggang sejak hampir dua dekad lalu.

Abbas dan PA sering mendakwa Hamas sebagai penghalang kepada perpaduan Palestin, manakala Hamas pula menuduh Abbas bersekongkol dengan Israel dan menindas suara penentangan di Tebing Barat.

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyamakan Hamas dengan ‘Nazi, seperti Hitler’

“Mereka mahu membunuh, memusnahkan seluruh orang Yahudi. Mereka secara terbuka mengisytiharkan hasrat untuk memusnahkan negara Yahudi – dan itu tidak akan berlaku!” katanya ketika Israel memperingati Hari Peringatan Holocaust.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Al-Qassam, sebelum itu menyiarkan rakaman yang didakwa menunjukkan seorang tebusan Israel masih hidup di Gaza.

Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Omri Miran, 48 tahun.

Keluarganya dalam satu kenyataan menyifatkan situasi itu sebagai ‘kegagalan moral’ Israel.

“Kami akan terus berjuang sehingga Omri kembali ke pangkuan kami.

Israel terus menggempur Gaza, dengan pasukan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh semalam termasuk 11 orang dalam satu serangan ke atas sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan.

– AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *