TOK KHURASAN,

Tok Khurasan dari Kabul (Guru kepada Tuan Guru Nik Aziz).

Ramai orang mengenali Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) sebagai seorang insan yang berilmu tinggi dan berhemah tetapi sentiasa rendah diri.  Semasa arwah Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) menjadi Menteri Besar Kelantan, Dinsman dan Pak Long diberikan peluang untuk membantu Majalah Qiadah (maksudnya Peneraju), sebuah majalah korporat terbitan Perbadanan Menteri Besar Kelantan(PMBK). Pada waktu itu, Ir. Haji Abdul Ariffahmi bin Abdul Rahman adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di PMBK.

Di sebalik kecemerlangan seorang insan, biasanya terdapat insan-insan lain yang bertanggungjawab untuk membimbing, menyokong dan mendidiknya sehingga mencapai taraf dan kedudukan seperti yang kita lihat sekarang. TGNA juga tidak terkecuali. Alhamdulillah kami bertiga sempat merakamkan pengalaman arwah TGNA tentang cara belajar ilmu agama dan salah seorang guru beliau ketika TGNA berusia 10 tahun ialah ‘Tok Khurasan dari Kabul’. Qiadah berkesempatan bertanyakan TGNA berhubung perkara ini. Pak Long kongsi bersama pembaca temubual Qiadah bersama TGNA.  Bagi Pak Long, ia sangat berharga dan Pak Long dapat belajar sesuatu dari pengalaman TGNA. Intipati temubual lisan telah diolah oleh Pak Long untuk memudahkan pembaca memahaminya. Dinsman telah memulakan temubual seperti berikut.

Dinsman: Kami dapat tahu Tok Guru pernah berguru dengan Tok Khurasan.  Boleh Tok Guru cerita sedikit tentang beliau?

TGNA: Tok Khurasan adalah seorang Kabul daripada Khurasan (nama Negeri/Jajahan). Khurasan dibahagi kepada dua- Khurasan Afghanistan dan Khurasan dalam Iran. Dia ni (Tok Khurasan) mari daripada Khurasan Bakhil, keturunan Bakhil. Saya belajar dengan dia masa Jepun. Waktu Perang Jepun, saya berada di Pondok Jertih. Saya masih ingat lagi asap berkepul naik daripada Padang Kapal Terbang Gong Kedak. Katanya askar Punjab yang bakar minyak dalam stor dia supaya tidak dirampas oleh Jepun. Jadi sepanjang penjajahan Jepun, saya duduk di Jertih. Saya tak boleh balik  kerana orang lain balik jalan kaki. Saya tak boleh balik sebab saya masih kecil. Saya lahir pada tahun 1931 dan Jepun menjajah pada 1941. Masa itu umur saya 10 (sepuluh) tahun. Umur sepuluh tahun, saya sudah ada di Jertih. Bila Tok Khurasan balik ke negerinya,  pondok-pondok tu pun ditutup sebab tak ada orang nak mengaji di situ.     

Dinsman: Pondok apa?

Pondok Jertih. Pondok Hj. Abas. Pondok Hj. Abdullah. Ketiga-tiga pondok ni dah tak ada lagi. Ustaz Hj Shafie yang dulunya belajar di India pun mengajar di situ. Seorang lagi – Tok Guru Hj. Awang Latif. Beliau berasal dari situ (Jertih). Semua mereka ni sudah meninggal. Dah jadi Allahyarham. Saya yang belum mati lagi. Ya Allah, dah mati semua. Selepas Tok Khurasan balik ke negerinya, tak orang yang hendak mengaji lagi di pondok situ.

Tahun berapa, saya tak berapa ingat. Ketika itu, saya belajar di Masjid Kg. Sireh. Itulah pondok saya, di serambi Masjid Sireh. Saya belajar Kitab hadith-Miskatul Masabeh bersama Allahyarham  Pak Man. Dia juga dikenali sebagai Abang Man Kedah atau Pak Man. Pak Man ni berkahwin dengan orang kampung saya. Dia sangat dihormati oleh masyarakat Kelantan dan juga orang Kedah waktu tu. Saya pernah menziarahi sekolahnya di Bukit Besar, Kedah. Lepas zohor , dia akan kayuh basikal lebih kurang 40 km dari pondok Bunut Payung untuk mengaji di Masjid Kg. Sireh. Pelajar-pelajar daripada Pondok Bunut Payung juga mengayuh basikal untuk belajar Kitab Miskatul Masabeh di sini. Saya pun belajar kitab yang sama.

Tok Khurasan sendiri baca Kitab Bukhari kalau tak salah saya. Kalau bukan Kitab Bukhari, Kitab Muslim. Tok Khurasan ni mengajar sambil tidur. Dia tidur terlentang dengan selimut sekali. Walau banyak mana hadith yang dibaca orang, dia boleh tegur satu demi satu. Ini kelebihan Tok Khurasan. Dia mengaji juga di Sekolah Deoband (India), sekolah yang saya pernah mengaji. Apa saja hadith yang kita baca, dia boleh menegur kesalahan kita. Dia kata , “Mu baca hadith ni dalam kitab lain Termizi, Nas Ayi (?), Ibnu Majah, Abu Daud”. Ini kelebihan Tok Khurasan. Lepas saya habis mengaji dengan Tok Khurasan, saya mengaji dengan kitab fekah Fathul Muin dengan Abang Man.

Ariffahmi:  Dari segi rupa parasnya (Tok Khurasan)  bagaimana?

TGNA: Rupa paras dia, betul-betul macam orang Kabullah. Tubuhnya tinggi dan kurus. Dan tiap-tiap hari Selasa,dia berjalan kaki dari Kg Sireh untuk mengajar orang-orang dia,  yang banyak menetap di Lorong Gajah Mati, Kelantan.  Di situ juga, ramai Tok Sheikh yang jual kain, jual kitab-kitab kampung, surah Yasin, Hikayat Zabedah dan  Hikayat Kiamat

 Ariffahmi:  Dari segi pakaiannya (Tok Khurasan) bagaimana?

TGNA: Dia pakai serban, pakai korta, pajama, seluar pajama dan baju kurta. Dia suka berjalan kaki untuk mengeluarkan peluh.

Dinsman: Dia mengajar guna bahasa ?..

TGNA: Dia guna Bahasa Melayu tetapi bahasa Melayu yang dia guna agak lintang pukang.. Tapi orang yang biasa dengannya, boleh faham tetapi mereka yang tidak biasa dengar,  tak boleh faham percakapan dia. Yang mengaji bersama saya ialah Allahyarham Tok Peti Haji Mat Mahir. Dia ni mengaji dengan Tok Khurasan dalam bahasa Farsi kerana dia memang belajar bahasa Farsi. Saya juga belajar bahasa Farsi  cuma ingat ‘kurda Allah, zamin bomin, burha bukeh, asma langit’ sampai sekarang..

Dinsman: Dia mengajar sambil tidur..kenapa dia tidur?

TGNA: Tak tau kenapa.. Boleh jadi dia letih. Bila kita tak ada,  dia tidur juga tapi bunyi suara…hmm..hhmm macam ada benda dia baca. Dia baca dalam bentuk lagu. Boleh jadi syair. …Hah..dia tulis kitab. Allahyarham Tok Khurasan ni tulis kitab dalam bahasa Arab. Syair ini dia tentang cerita agama. ‘Filihin wai dun’ salah satu syair Tok Khurasan. Kalau En Dinsman berminat hendak membaca syair ini, kena cari anaknya ,Toyib atau Pak Yib. Dia tinggal di tepi Masjid Kampung Sireh. Kalau betul betul nak ke sana untuk melihat syair itu , saya nak kirim duit sikit untuk Pak Yib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *