Gagal bunuh suami, wanita dipenjara selepas 17 maut minum susu dicampur racun

SEORANG wanita dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa mencampurkan racun ke dalam minuman suaminya dalam usaha melarikan diri daripada perkahwinan paksa di Multan, Pakistan.

Tindakan itu mengakibatkan 17 ahli keluarga suaminya maut selepas tanpa sengaja meminum susu tersebut.

Wanita berkenaan, Aasia Bibi, 21, bertindak mencampurkan racun yang diperoleh daripada teman lelakinya, Shahid Lashari, selepas berdepan tekanan hidup akibat perkahwinan paksa oleh keluarganya.

Bagaimanapun, suaminya, Mohammad Amjad, tidak meminum susu tersebut.

Sebaliknya, ibu mentua Aasia difahamkan telah menghidangkan minuman berkenaan kepada 27 ahli keluarga yang lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Multan, Sohail Habib Tajik, perbuatan itu menyebabkan 17 mangsa termasuk kanak-kanak meninggal dunia akibat keracunan.

“Setakat ini, angka kematian 17 orang dan 10 lagi masih dirawat di hospital.

“Aasia dan teman lelakinya, Shahid telah ditahan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Aasia difahamkan pernah beberapa kali berbincang dengan keluarganya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, namun ditolak hingga dipaksa bernikah dengan sepupunya sendiri.

Dia juga pernah melarikan diri dan merayu untuk berpisah dengan suaminya, namun tidak diendahkan keluarganya. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *