PERLU amalkan diet yang ketat demi mendapatkan bentuk fizikal sempurna untuk memakai sut filem Keluang Man.
Demikian dedah bintang utamanya iaitu Nas-T atau pemilik nama sebenar Nas Muammar Zar Nasruddin, 41, sebagaimana dipetik Harian Metro.
Mengakui dirinya berdepan cabaran besar ketika musim perayaan apatah lagi dihidangkan dengan pelbagai makanan tradisi yang enak.
Nas-T pulang beraya ke kampung sebelah isteri, Atita Haris di Skudai, Johor.
“Cukup kami beraya seminggu di kampung. Selepas itu masing-masing sambung semula kerja. Anak-anak pun gembira beraya. Momen bersama ahli keluarga itu yang penting.
“Semestinya saya suka masakan emak mentua dan bapa mentua yang sedap. Mereka suka memasak. Jadi, saya teruja dengan masakan mereka.
“Selalunya mereka masak soto, ayam masak merah, beriani kambing, saya pun boleh kecualikan untuk satu atau dua makanan,” katanya.
Menurutnya, dia tidak boleh terlalu mengikut nafsu walaupun dirinya seorang yang pemakan.
“Pernah berlaku sebelum ini, saya biarkan nafsu menguasai diri, kesudahannya berat saya bertambah lima kilogram dan lepas itu saya tak suka tengok diri saya di cermin.
“Jadi, saya kawal dari awal. Kerja sebagai Keluang Man pula kena banyak pakai sut kostum. Jadinya kena jaga.
“Saya selalu ingatkan diri sendiri dan orang lain, boleh makan, boleh rasa semua, tapi berpada-pada,” katanya.
Nas-T berkata, alternatif lain turut diambil seperti mengamalkan latihan kecergasan secara berterusan.
“Untuk Keluang Man memang betul saya tak ambil nasi dan tak ambil gula sebaliknya lebihkan makan telur, daging dan ayam. Itu pun saya masak sendiri.
“Jadi, saya memang jaga di situ. Masa raya pun saya buat perkara sama. Cuma setengah makanan kegemaran saya, saya boleh tutup mata, tapi bahagian yang dimakan tak besar.
“Orang kata cukup untuk rasa-rasa. Nanti kempunan pula. Rugi tak makan makanan raya. Jadinya, jamah sahaja,” katanya.
Yang pasti Nas- T semestinya menjamah lemang, rendang, ketupat serta nasi impit, kuah kacang dan sate.
“Menu ini perlu dimakan dan baru rasa raya. Tak lupa juga saya akan makan kuih raya. Untuk setiap menu, saya makan sekali atau dua kali sahaja.
“Selepas itu saya sambung diet semula. Itu cara saya,” katanya.
Bercerita berkenaan filem Keluang Man, Nas-T berkata, filem arahan Anwari Ashraf ini menemui penonton di pawagam pada 29 Mei depan.
“Sekarang team Astro Shaw menyusun konten untuk mempromosi filem ini. Kami akan adakan banyak promosi di media sosial, TV dan banyak lagi.
“Respons peminat pula alhamdulillah. Kami sangat berpuas hati dengan teaser yang kami bagi dan parodi yang kami buat.
“Walaupun ada pelbagai reaksi, tapi itu yang kami nak. Kami nak perhatian daripada kalangan penonton dan kami dah dapat,” katanya.
Nas-T berharap publisiti yang dilakukan terus berkembang selepas ini sehingga filem itu ditayangkan.
“Fokus sekarang adalah untuk kanak-kanak mengenali Keluang Man. Setakat ini apa yang kami lihat dari golongan Gen Z dan Gen Alpha, mereka dah tahu Keluang Man.
“Itu adalah satu perkara yang bagus dan kalau boleh saya nak lagi publisiti ini menyeluruh dalam kalangan semua golongan.
“Untuk tawaran lain, setakat ini dalam perbincangan. Dah sah kontrak nanti baru saya boleh buat pengumuman,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001