Gambar diambil di Gunung Reng, Jeli, Kelantan suatu ketika dahulu membuka tabir pengalaman zaman Pak Long masa kecil-kecil dulu. Ketika air pasang penuh, Pak Long dan rakan-rakan sekampung jarang melepaskan peluang berkhayal sebagai Tarzan kampung sambil terjun, berenang, menyelam sepuas-puasnya di dalam anak sungai di kampung Pak Long. Sungainya tidak dalam dan airnya jernih dan dingin, sungguh nikmat pada hari yang panas. Di kampung mana ada penghawa dingin waktu itu. Dan seperti teman-teman yang lain, Pak Long ikut mandi sungai dan biasanya menerima hadiah dari arwah ibu apabila pulang. Mata yang merah kerana terlalu lama menyelam tidak boleh menutup kesalahan melanggar pesan emak yang begitu keras tegas sekali – “Jangan mandi sungai!”
Anak-anak yang Pak Long temui ini begitu riang, mandi manda dan menyelam sambil memanah ikan. Ada yang berjaya memanah seekor ikan baung. Anak itu begitu gembira sekali menunjukkan kemahirannya sebagai Robin Hood Kampung. Percayalah, bila dewasa kelak anak ini tidak akan lupa pengalaman yang indah seperti ini. Mereka beruntung kerana masih berpeluang menikmati pengalaman seperti ini kerana sungainya masih belum tercemar; airnya sungguh jernih. Mereka beruntung kerana kawasan di hulu belum lagi digilis oleh hantu ‘pembangunan’ tidak senonoh yang merosakkan alam – termasuk sungai seperti ini. Agaknya, berapa lama lagi sungai ini masih berupaya menghidupkan baung, tengas dan udang? Atau inilah generasi terakhir yang berpeluang nikmati khazanah alam yang istimewa seperti sungai ini? Sesungguhnya hanya masa yang menentukan.