Gencatan senjata Ukraine: Rundingan wakil Amerika dengan Putin baik, produktif - Trump

Trump rancang kenakan denda AS$998 sehari ke atas pendatang tanpa izin ke Amerika

WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump merancang untuk mengenakan denda yang tinggi terhadap migran yang enggan meninggalkan Amerika Syarikat (AS) selepas diarahkan keluar, menurut satu laporan.

Dalam usaha terbaharu Presiden AS itu untuk melaksanakan “operasi pengusiran terbesar” dalam sejarah AS, imigran akan dikenakan denda sehingga AS$998 (RM4,480) sehari sekiranya mereka gagal meninggalkan negara itu, menurut dokumen yang diperoleh oleh Reuters.

Jika mereka gagal membayar denda, harta mereka boleh dirampas, menurut rancangan yang dicadangkan.

“Pendatang tanpa izin sepatutnya menggunakan aplikasi CBP Home untuk keluar sendiri dari negara ini.

“Jika tidak, mereka akan berdepan akibatnya. Ini termasuk denda AS$998 sehari bagi setiap hari mereka melanggar arahan akhir pengusiran,” kata jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri kepada The Independent dalam satu kenyataan.

“Pilihan paling selamat untuk pendatang tanpa izin adalah untuk keluar sendiri dari negara ini.”

Cadangan ini berasaskan undang-undang Persekutuan tahun 1996 yang menyatakan bahawa mana-mana imigran yang tertakluk kepada “perintah muktamad pengusiran” dan “dengan sengaja gagal atau enggan” meninggalkan AS boleh dikenakan denda sivil tidak melebihi AS$500 (RM2,245) sehari.

Namun, pentadbiran Trump mencadangkan agar denda ini dikenakan secara retroaktif (berundur ke belakang) sehingga lima tahun, yang boleh menyebabkan denda melebihi AS$1 juta (RM4.49 juta), menurut seorang pegawai kanan Trump kepada media.

Laporan ini muncul seminggu selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengeluarkan amaran kepada pendatang tanpa izin, menggesa mereka untuk “keluar sendiri” sebelum agensi tersebut menjejaki dan mengusir mereka.

Mereka yang keluar secara sukarela berpeluang untuk kembali masuk secara sah ke AS pada masa depan, manakala mereka yang diusir secara paksa tidak boleh kembali.

Amaran itu termasuk ancaman denda AS$998 sehari serta denda tambahan antara AS$1,000 (RM4,490) hingga AS$5,000 (RM22,453) jika gagal keluar secara sukarela selepas menyatakan niat untuk berbuat demikian atau hukuman penjara.

Denda yang dicadangkan ini mungkin terlalu berat untuk hampir satu pertiga daripada pendatang tanpa izin; menurut kajian Institut Polisi Migrasi pada tahun 2019, sebanyak 26 peratus pendatang tanpa izin mempunyai pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) akan bertanggungjawab mengeluarkan denda ini dan merampas aset mereka, menurut laporan Reuters.

Pada penggal pertamanya, Trump menggunakan undang-undang 1996 tersebut pada tahun 2018 terhadap sembilan orang imigran yang gagal meninggalkan AS selepas menerima arahan pengusiran, memerintahkan mereka membayar ratusan ribu dolar.

Namun, kebanyakan denda itu kemudian ditarik balik atau dikurangkan.

Berita ini muncul sehari selepas Mahkamah Agung AS membenarkan pentadbiran Trump menggunakan undang-undang perang tahun 1798 untuk mengusir ahli kumpulan samseng Venezuela.

Pada hari sama, Mahkamah Agung turut menggantung sementara perintah hakim persekutuan yang mengarahkan Trump membawa pulang semula seorang bapa dari Maryland yang dihantar ke penjara di El Salvador secara tidak sah. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *