Ramlee ubah nasib dengan perahu kolek, tarik pelancong ke Kelantan

KOTA BHARU – Ramlee Mat, 43, seorang nelayan dari Kampung Kuala Sabak, Pengkalan Chepa, telah membuktikan usaha gigih dan harapan yang tinggi mampu mengubah nasibnya.

Daripada seorang awak-awak bot nelayan yang berjuang mencari rezeki di laut, kini dia berbangga memiliki dua perahu kolek yang bukan sahaja menjadi sumber pendapatan, tetapi juga menyumbang kepada industri pelancongan Sungai Pengkalan Datu.

“Saya amat berbangga kerana perahu kolek milik saya kini bernilai RM200,000. Dahulu, saya hanya bekerja sebagai awak-awak bot nelayan.

“Sekarang, saya memiliki perahu kolek sendiri, yang turut menjadi tarikan utama bagi pelancong yang ingin menikmati keindahan Sungai Pengkalan Datu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perahu Kolek Dikir Barat di Jeti Tanjung Kuala Sabak di sini semalam.

Perahu kolek terbesar miliknya sepanjang 12.2 meter dan lebar tiga meter dengan corak warna-warni kini berlabuh megah di Jeti Tanjung Kuala Sabak.

“Alhamdulillah, perkhidmatan perahu kolek saya mendapat sambutan luar biasa terutama pada musim cuti sekolah. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada saya, tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Perahu kolek yang merupakan warisan nelayan di pesisir Pantai Kampung Sabak memiliki keistimewaan tersendiri dengan dihiasi ukiran motif awan larat yang berwarna-warni.

Perahu itu menghubungkan pelancong dengan sejarah dan budaya Kelantan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Ramlee juga percaya bahawa perahu kolek itu satu daripada usaha kerajaan Kelantan untuk memperkasakan sektor pelancongan.

“Saya ingin memanfaatkan peluang ini untuk terus terlibat dalam sektor pelancongan negeri. Perkhidmatan river cruise yang saya tawarkan lebih menjimatkan dengan pergerakan perlahan, memberi peluang kepada pelancong untuk menikmati keindahan alam dengan lebih mendalam,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *