Oleh: Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
ISU paling bergema kini sudah pasti pengenalan tarif timbal balas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Donald. Penguatkuasaan tarif baharu yang dikenakan ke atas 158 negara dunia, termasuk Malaysia berkuatkuasa 9 April 2025.
Penguatkuasaan tarif baharu ini yang bersifat timbal-balik kepada isu perdagangan antarabangsa adalah tindakan radikal Trump untuk menstrukturkan semula ekonomi AS untuk memelihara kepentingan domestiknya berikutan dakwaan beliau yang menyifatkan nilai lebihan dagangan AS lebih memihak kepada negara-negara pengeksport.
Presiden Trump berusaha memenuhi manifesto kempennya dengan mengumumkan tarif timbal balik pada Hari Kebebasan (Liberation Day) pada 2 April yang disifatkan penganalisis sebagai ‘perang perdagangan global baharu’ era Trump.
Reaksi pasaran nyata tidak memberangsangkan apabila pasaran saham utama dunia menjunam dan kini rakyat di AS sendiri menyuarakan bantahan besar-besaran tanda tidak puas hati terhadap dasar-dasar pentadbiran Trump, termasuk isu tarif.
Kesatuan Eropah (EU) telah memberi amaran bahawa mana-mana negara dalam blok kesatuannya yang terkesan bakal menerima tindakan balas yang sama dari seluruh negara dalam blok EU.
China yang dikenakan 34% tarif baharu telah mengambil tindak balas agresif dengan mengenakan tarif tambahan 34 peratus ke atas semua barangan AS yang masuk ke negara berkenaan berkuatkuasa 10 April.
China juga lebih fokus terhadap usaha memperkukuhkan insentif rangsangan dalaman sebagai usaha memelihara pemain industrinya dan sasaran untuk mencapai lima peratus kadar pertumbuhan ekonomi sambil menumpukan kelebihan bahan nadirnya sebagai kekuatan perdagangannya.
Malaysia dikenakan tarif baharu yang ditingkatkan kepada 24% daripada 14% sebelumnya dengan mengambil kira purata kenaan baharu kepada 158 negara adalah kenaikan 10%.
Apakah impak ke atas Malaysia memandangkan kepentingan perdagangan Malaysia-AS bernilai kira-kira USD 80.2 billion dalam tahun 2024, iaitu peningkatan dari tahun 2023 bernilai USD 65.55 billion?
Defisit imbangan perdagangan Malaysia dengan AS ialah kira-kira USD 25 billion, ini bermakna eksport Malaysia ke AS lebih tinggi berbanding eksport AS ke Malaysia. AS merupakan rakan perdagangan ketiga menyumbang 11.3% jumlah nilai perdagangan negara keseluruhannya.
Sebagai negara yang berdagang, Malaysia telah mengumumkan kenyataan balas yang lebih berdiplomasi dan melihat peluang perjanjian antarabangsa sebagai wahana perundingan untuk mencapai kata sepakat lebih komprehensif dan seimbang.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membayangkan prospek Kerangka Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) sebagai potensi wahana rundingan bersekali dengan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) supaya Malaysia tidak kehilangan peluang hubungan perdagangan yang lebih adil demi kepentingan negara.
Pendekatan diplomasi ekonomi adalah batu tanda Malaysia dalam usaha menangani isu perdagangan global dengan berusaha mengimbangi kedaulatan negara dan kekal untuk bersaing secara kompetitif.
Malaysia juga memahami implikasi bahang perang perdagangan, khususnya AS-China yang memberi impak terhadap kedudukan Malaysia dalam ekonomi serantau dan domestik.
Kepimpinan negara akan memainkan peranan kritikal dalam menangani impak tarif dengan meneruskan dan mengekalkan keutuhan fundamental ekonomi sama ada mikro atau makro.
Kelebihan Malaysia selama ini adalah kerana fundamental ekonomi yang kukuh memberikan ketahanan dalam menangani perubahan landskap perdagangan global yang tidak menentu.
Ujian terbesar bagi Malaysia secara domestik ialah bagaimana keadaan ini sepatutnya membawa semua pihak kepada titik konsensus nasional untuk melihat ekonomi negara kukuh, stabil dan mampan.
Maka, semua pihak termasuk di pihak kerajaan mahu pun pembangkang perlu memikirkan impak tarif ini dengan menyumbang idea-idea dan pemikiran bernas sekali gus menyumbang kepada mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
Kedaulatan ekonomi adalah maruah negara manakala mempolitikkan impak cabaran ekonomi adalah seburuk-buruk pengkhianatan kepada negara!
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan telah menetapkan sejak awal lagi asas-asas persediaan menghadapi ketidaktentuan sebagai latar kemunculan ekonomi Madani.
Maka, pendekatan ekonomi yang berteraskan kemampanan serta kemakmuran rakyat telah melahirkan ekonomi yang bersifat transformatif. Antara pendekatan Ekonomi Madani adalah memperkenalkan Pelan Induk Baharu Perindustrian atau New Industrial Master Plan (NIMP) yang akan meningkatkan sektor industri negara, menumpukan industri mengikut keutamaan negara dan mengukuhkan rantaian bekalan produk negara serta meluaskan skop Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) sebagai syarat utama perdagangan dan perniagaan.
Semua ciri-ciri ini terkandung dalam asas-asas ekonomi Madani, iaitu Kemampanan. Makna kemampanan ialah kemampuan untuk kekal stabil dalam apa juga keadaan agar dapat berterusan berperanan secara berkesan. NIMP antara penampan terhadap impak global akibat perubahan dasar penguatkuasaan tarif ini.
Begitu juga dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang menuju ke arah ekonomi berkarbon rendah, bersih dan hijau. Secara asasnya, ekonomi Madani telah melahirkan dasar-dasar yang menyediakan tapak ekonomi yang menjadi pelantar kepada pasaran ekonomi baharu.
Kesungguhan ini bermula dengan langkah di Parlimen baru-baru ini yang telah meluluskan akta pemerangkapan karbon yang menjadi pemangkin kepada ekonomi baharu dunia.
Malaysia juga bersiap-sedia ke arah pelan baharu perpindahan ekonomi tenaga fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dengan pakej insentif ekonomi hijau.
Pelan ini memberi peluang untuk Malaysia mencari potensi rakan perdagangan baharu yang tidak terikat dengan blok Barat semata-mata ketika kemajuan teknologi dan ekonomi telah beralih kepada negara-negara seperti China dan India.
Dari sudut pengurusan fiskal, ekonomi Madani telah menyediakan piawaian kukuh daripada sudut undang-undang dengan adanya Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal supaya perbelanjaan negara dikawal pada tahap yang ditetapkan undang-undang, iaitu had hutang negara tidak melebihi 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala khidmat pembayaran hutang tidak melebihi 15% daripada perbelanjaan negara.
Ini sekaligus meningkatkan rangsangan Pelaburan Langsung Asing (FDI) kerana pelabur meyakini kestabilan fiskal negara sekali gus meyakinkan rakyat tentang tanggungjawab kerajaan berbelanja secara berhemah dan adil. Peningkatan pelaburan yang direkodkan pada tahun 2024 berjumlah kira-kira RM378.5 billion.
Malaysia yang mempunyai penduduk kira-kira 34 juta dengan tahap pengangguran yang relatif rendah serta insentif kerajaan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai fokus ekonomi mempunyai daya ketahanan dalam menangani cabaran baharu ekonomi global.
Malaysia sudah bersiapsiaga untuk menempuh ketidaktentuan ini sejak era pasca-covid lagi. Kesiapsiagaan Malaysia diperkukuhkan dengan Ekonomi Madani yang sudah menunjukkan keberhasilan melalui pertumbuhan yang stabil dan pelaburan yang meningkat pada tahun 2024, iaitu 5.1%.
Cabaran mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi yang stabil akan meningkat dengan tarif baharu ini. Semua pihak termasuk kerajaan dan swasta perlu lebih peka untuk menjayakan pertumbuhan mampan untuk negara. Kelebihan Malaysia dalam menangani isu tarif ini juga terletak kepada kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam tahun ini.
Pada tahun 2022 Malaysia mencapai persetujuan serantau antara negara Asean, Australia, New Zealand, Jepun, China dan Korea Selatan sebagai blok ekonomi terbesar dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Ini akan memberikan rantau Asean kelebihan dengan China sebagai rakan perdagangan terbesar. Malaysia juga telah diterima sebagai rakan dalam blok negara BRICS awal tahun ini bersama beberapa negara negara lain dan pastinya memberikan kelebihan kepada Malaysia mencari potensi pasaran baharu dan rakan perdagangan baharu di kalangan negara Hemisfera Selatan.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan penguatkuasaan tarif yang baharu ada kesannya kerana pendapatan perdagangan negara akan terjejas disebabkan produk Malaysia dijangka hilang daya kompetitifnya di pasaran AS.
National Geoeconomic Command Centre (NGCC) yang dibentuk oleh Kabinet sebelum ini akan memainkan peranan untuk menilai impak tarif baharu berkenaan dan akan mengeluarkan pelan mitigasi terhadap sektor Elektrik dan Elektronik (E&E), produk sawit dan getah.
Namun, secara keseluruhannya penulis yakin kedudukan infrastruktur ekonomi Malaysia yang sedia ada dan ekonomi MADANI yang strukturnya dibentuk sebegitu rupa, iaitu bersiap-siaga berdepan ketidaktentuan diyakini mampu menerima impak tarif baharu, malahan mampu melihat peluang-peluang pelaburan dan perdagangan baharu. – ND
Dato’ Seri Dr. Mujahid kini menyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Senator Dewan Negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001