PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding solo pada PRN Sabah dan akan mengumumkan kerjasama dengan gabungan politik lain bila tiba masa.
Ketuanya Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan politik semasa iaitu parti bertanding solo tidak mampu memenangi pilihan raya untuk menerajui negeri.
“Umno-BN akan bertanding mengikut kemampuan dan keyakinan. Jadi, sampai masa kita akan putuskan dengan siapa kita bergabung…sebab apabila bergerak solo kemampuan itu terhad.
“Parti yang bergerak solo tidak akan mencapai kemenangan besar malah keadaan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan seluruh dunia. Parti politik akhirnya akan bergabung selepas pilihan raya bentuk kerajaan,” kata ketua Umno Sabah dalam temu bual bersama FMT.
Bung mengulas adakah BN akan bergerak solo selepas Warisan yang sebelum ini antara gabungan kemungkinan untuk parti itu bekerjasama memutuskan bertanding sendirian pada PRN Sabah dijangka tahun ini.
Presiden Shafie Apdal pada 8 Mac lalu menolak spekulasi kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain, sambil menegaskan Warisan adalah parti berbilang kaum yang mewakili semua rakyat Sabah.
Pada Mac tahun lalu, Shafie pernah mendakwa Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan bersetuju untuk bekerjasama bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Hajiji Noor.
Kehadiran Bung di perhimpunan agung Warisan sebelum ini turut mencetuskan spekulasi mengenai pakatan rasmi antara Umno Sabah dan Warisan. Bagaimanapun, Umno Sabah bulan lalu menegaskan tiada perbincangan rasmi dengan Warisan mengenai kerjasama PRN.
Sementara itu, mengulas kecenderungan bergabung selepas Warisan tidak menunjukkan minat bekerjasama, Bung berkata BN terbuka berunding dengan mana-mana pihak selain parti yang pernah mengkhianati mereka.
“Kita membuka pintu juga…bukan terlalu luas, tapi masih ada perundingan dengan mana-mana parti,” katanya memaklumkan BN menyasarkan bertanding lebih 40 DUN.
Pada PRN Sabah 2020, BN menerusi Umno menang 14 kerusi daripada 73 DUN. Warisan pula memperoleh (23), DAP (6), PKR (2), Upko (1), PBS (7), Star (6), bebas (3) dan Bersatu (11-sebelum Parti Gagasan Rakyat Sabah ditubuhkan).
Daripada 14 DUN dimenangi BN, lima daripadanya kekal menyokong pentadbiran Hajiji selepas ‘Langkah Kinabalu’ bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH). – FMT
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001