SEHARI dua baru ni kecoh isu dua anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Negeri Sembilan melarang seorang pakcik menjual petai di sebuah lokasi di daerah itu.
Pakcik itu menjual petai menggunakan motosikal saja, bukan mendirikan payung, khemah atau membina struktur sehingga mengganggu lalu lintas atau laluan orang ramai.
Dalam meneruskan kehidupannya, hanya meniaga petai yang pakcik tu mampu lakukan untuk menyara keluarga. Nak kerja kerajaan, usianya sudah lanjut, sudah masuk peringkat warga emas, peringkat yang tidak diperlukan lagi oleh mana-mana jabatan dan agensi, mahupun syarikat swasta.
Lalu, itu sajalah usaha yang ada dan rezeki yang dipilihnya untuk mengisi tembolok dirinya, isteri, anak-anak dan cucu-cucunya mungkin.
Tetapi, ada pihak yang hidupnya senang, tiap bulan gaji masuk akaun, duduk di bilik berhawa dingin, meja dan kerusi empuk memandangnya sebagai ‘sampah’. Kehadiran pakcik tu berjual petai menyakitkan mata memandang. Merosakkan imej perbandaran itu mungkin.
Justeru, dua anggota penguat kuasa itu mendatangi pakcik berkenaan yang ketika itu tidak ada pelanggan datang membeli petainya, telah menghalau dia dari berniaga di situ.
Ditanyanya ada lesen meniaga atau tidak. Ditanyanya dapat kebenaran menggunakan lokasi itu atau tidak. Dan macam-macam disoal, seolah pakcik itu meniaga secara haram dan berjual barangan larangan.
Provokasi dari dua anggota itu mencetuskan kemarahan pakcik berkenaan. “Aku jual petai pun, bukan jual benda haram”. Kalau aku tak berjual petai, takkan aku nak mencuri dan merompak untuk sara keluarga”, getus pakcik tu kepada dua anggota penguat kuasa terbabit.
Ya, siapa tidak marah, kalau berniaga petai pun dilarang. Lagipun, pakcik tu pemegang sah mykad warganegara Malaysia. Lebih 60 tahun hidup di bumi Tanah Melayu. Dia bukan pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh. Dia juga bukan warga asing yang masuk ke Malaysia secara haram. Dia rakyat Malaysia. Rakyat yang mendukung Rukun Negara.
Dia hanya ada motosikal. Dia tak ada kereta. Dengan motosikal itu dimanfaatkan untuk mencari rezeki dengan berjual petai. Tetapi, itu salah pada kaca mata dua anggota penguat kuasa berkenaan. Itu salah dari sisi perundangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mungkin.
Kalau itu salah, puluhan ribu warga asing berniaga hingga mengganggu rezeki peniaga tempatan, tidak pula diusik PBT. Peniaga tempatan juga mahu diusiknya. Islam melarang hamba-Nya menganiayai hamba-Nya yang lain. Sekurang-kurangnya berilah nasihat, minta jasa baik pakcik tu supaya alih lokasi berniaga kerana di situ pengguna jalan raya nak lalu lalang atau petak parking yang diambil pakcik tu nak digunakan oleh pemilik motosikal lain.
Itulah sepatutnya dilakukan oleh penguat kuasa. Sebelum dilantik sebagai penjawat awam, banyak ikrar dilafazkan. Banyak tata cara dan tata kelola diserapkan. Mereka juga dilatih dan dididik, selain melaksanakan undang-undang, budi bicara juga perlu digunakan.
Baharulah orang awam hormat kepada kita sebagai penjawat awam yang bertugas dan berkhidmat di bahagian penguat kuasa. Jangan pula, bila kita memakai uniform penguat kuasa, kita merasakan kita boleh berbuat apa saja hinggakan budi bicara diketepikan. Janganlah terlalu sombong, ago dan angkuh dengan kuasa yang ada. Siapalah kita.
Di sisi Allah, mungkin pakcik tu lebih mulia daripada dua anggota penguat kuasa terbabit, mungkin. Mulianya pakcik itu kerana dia mencari rezeki halal dan berkat, dan tidak mulianya penjawat awam terbabit kerana menyalahgunakan kuasa.
Jadi, tidak hairanlah, sejak kes itu tular dan viral di media sosial, puluhan ribu netizen memberi komen yang negatif. Tidak ada satu pun komen yang menyokong tindakan anggota penguat kuasa terbabit. Ya, tidak ada yang setuju dengan tindakannya menyakitkan hati pakcik yang daif itu.
Banyak lagi anggota penjawat awam kena diberikan kursus kesedaran. Majikan atau kerajaan jangan biarkan anak buah bekerja dengan syok sendiri. Jumlah mereka hanya 1.5 juta sahaja, sedangkan jumlah orang awam lebih 33 juta. Jadi, siapa yang tanggung gaji dan elaun mereka selama ini, kalau bukan 33 juta orang awam?
Oleh itu, kepada penjawat awam, terutama penguat kuasa di luar sana, kerjalah secara berhemah. Jangan salahgunakan kuasa. Dalam mencari rezeki, sentiasalah ingatkan Allah, kerana Dia Maha Memerhati. Kalau Allah mahu tarik nikmati seseorang, sekelip mata hamba-Nya itu boleh hidup merana.
Walaupun kes itu sudah dianggap selesai, tetapi kesannya masih terasa membara dalam hati jutaan netizen. Jadi, hati-hatilah dalam menjalankan tugasan. Tidak rugi buang sifat dan sikap sombong, ego, angkuh dan tinggi diri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001