YBR bantu 535 golongan asnaf, 24 masjid dan surau di Kadamaian

YBR bantu 535 golongan asnaf, 24 masjid dan surau di Kadamaian

KADAMAIAN – Prihatin kepada mereka yang kurang bernasib baik, Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menganjurkan Program Pemberian Bakul Makanan Kepada Keluarga Asnaf serta bantuan tunai kepada masjid dan surau di sekitar Kadamaian dalam usaha menyantuni golongan asnaf, di samping mengeratkan silaturrahim.

Sejumlah RM80,250 telah diperuntukkan bagi bantuan bakul makanan kepada 535 penerima asnaf.

Selain itu, sebanyak RM24,000 telah diperuntukkan kepada 24 masjid dan surau bagi membantu pengurusan pelaksanaan program keagamaan.

Majlis penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Ewon berkata, kesudian YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik sememangnya patut dipuji dan diharapkan bantuan yang diagihkan dapat memberi sinar kegembiraan di bulan Ramadan serta sebagai persiapan dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Saya amat menyokong inisiatif seperti ini dilaksanakan dan berharap ia sedikit sebanyak dapat merapatkan lagi ukhuwah dan silaturrahim antara organisasi luar dengan masyarakat setempat,” katanya di Masjid Kampung Tambulion Sorob, Kadamaian, Kota Belud.

Sentiasa peka kepada mereka yang memerlukan, Syaiful Rizal menegaskan bantuan yang diberikan kepada 535 keluarga asnaf ini dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu mereka yang beragama Islam dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadan.

YBR, katanya, amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.

Tambah beliau lagi, YBR turut memberi bantuan kepada masjid dan surau di sekitar bagi mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti masjid seperti menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan dan keagamaan seperti kelas mengaji, ceramah serta aktiviti belia.

Pada tahun 2024, YBR membelanjakan sebanyak RM3,395,810 bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan serta pemerkasaan masyarakat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *