LENSA TAFAKUR
Oleh: Mohd. Shah Abdullah
UMAT Islam kini berada pada lorongan terakhir dalam fasa Madrasah Ramadan. Hanya berbaki 10 hari terakhir, begitu banyak sekali pencerahan oleh alim-ulama, ilmuan, kiyai dan asatizah berkaitan kelebihan malam al-Qadar. Kelebihan malam al-Qadar jelas disebutkan di dalam surah al-Qadr (Q97:1-5).
Banyak kelebihan malam yang dikatakan lebih baik dari 1,000 bulan atau bersamaan kira-kira 83 tahun usia seseorang manusia. Ini hanya dapat dicapai jika kita giat berusaha, beramal, berdoa dan bermunajat semata-mata mahu merebut ganjaran kelebihan malam al-Qadar.
Soal kita berjaya meraih kelebihan tersebut, penentuannya mutlak di tangan Allah s.w.t. Kita tidak perlu kecewa dan putus asa asal sahaja ada kemahuan dan ikhtiar yang berterusan untuk melakukan amalan soleh.
Ulama tersohor, Allahyarham Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Buya Hamka yang juga seorang pengarang prolifik pernah menghasilkan karya tafsir al-Azhar 30 juzuk al-Quran.
Ketika menulis tafsiran surah al-Qadr yang meliputi lima ayat yang cukup padu, padat dan ringkas, Buya Hamka menjelaskan beberapa hal yang wajar untuk direnungi sekali gus difahami makna Lailatul Qadr.
Menurut Hamka, keterangan tiga ayat dalam surah al-Qadr ditambah dengan tiga ayat pembuka dari surah ad-Dukhan menjelaskan bahawa Malam Lailatul Qadar itu adalah malam mula turunnya al-Quran. Mari kita lihat terjemahan lima ayat dalam surah al-Qadr dan tiga ayat dalam surah ad-Dukhan tersebut.
- Sesungguhnya telah Kami turunkan dia pada malam Kemuliaan.
- Dan sudahkah engkau tahu, apa dia malam Kemuliaan itu?
- Malam Kemuliaan itu lebih utama dari 1,000 bulan
- Turun Malaikat dan Roh pada malam itu dengan izin Tuhan mereka, membawa pokok-pokok daripada setiap perintah.
- Sejahteralah dia sehingga terbit fajar.
(Al-Qadr: Q97 (1-5)
Manakala dalam tiga ayat surah ad-Dukhan dijelaskan keterangan berikut:
- Ha Mim
- Demi al-Quran kitab yang menerangkan kebenaran.
- Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran.
Apa makna al-Qadar itu? Dalam tafsir al-Azhar, Buya Hamka menjelaskan seperti berikut;
- Kemuliaan kerana setengah erti qadar itu ialah kemuliaan. Manusia pada malam tersebut diberi kemuliaan, dinyahkan daripada zullumat atau kegelapan kepada Nur, iaitu cahaya petunjuk Allah yang gilang-gemilang.
- Penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan khittah atau langkah yang akan ditempuh Rasulnya di dalam memberi petunjuk untuk umat manusia. Penentuan juga bermakna garis pemisah antara kufur dan iman, jahiliyah dan Islam, syirik dan tauhid, tiada kacau-bilau lagi. Semuanya ibarat sudah terang lagi bersuluh.
Nilai malam al-Qadar itu amat tinggi sekali. Malaikat Jibril a.s. memperlihatkan dirinya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam keadaannya yang sebenar. Baginda Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa hanya dua kali sahaja Baginda dapat melihat Jibril a.s. dalam wajahnya yang sebenar, iaitu pada malam al-Qadar dan ketika berada di Sidratull Muntaha sewaktu berlaku peristiwa Isra’ wal Mi’raj.
Pada kesempatan lain, Nabi s.a.w. melihat Jibril a.s. dalam bentuk penjelmaan sebagai manusia, menyerupai dirinya dengan sahabat Nabi bernama Dahiyah al-Kalbi.
Demikian kemuliaan malam al-Qadar sebab Malaikat atau Roh dapat menjelmakan dirinya di hadapan Nabi s.a.w. manakala Nabi s.a.w. mulai berhubungan dengan alam Malakut berterusan selama 23 tahun; 13 tahun di Makkah manakala 10 tahun di Madinah. Hubungan langsung antara Nabi s.a.w. dan Malaikat tersebut melancarkan satu interaksi di antara alam syahadah dan alam ghaib. Sudah tentu ini memerlukan lebih daripada kefahaman akal biasa manusia melainkan mesti disusuli dengan keyakinan mutlak berteraskan paksi iman dan akidah.
Tentang bila masa sebenar berlaku malam al-Qadar tersebut, Buya Hamka menjelaskan berlaku wacana panjang antara ahli hadis dan riwayat. Di dalam kitab al-Fathul Bari syarah kepada Bukhari dari Ibnu Hajar al-Usqallani, disalinkan tidak kurang daripada 45 qaul tentang malam terjadinya Lailatul Qadar. Sebab itulah dianjurkan setiap malam bulan Ramadan itu diisi dengan ibadah dan kerja-kerja kebajikan. Terdapat juga pandangan Lailatul Qadar berlaku pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan. Justeru, Nabi s.a.w. lebih memberikan fokus beribadah dengan intensif dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadan.
Satu ingatan penting Buya Hamka lewat tafsir al-Azhar berkaitan surah al-Qadr ini ialah perihal malam istimewa tersebut semuanya dipertautkan kepada satu, iaitu membesarkan syiar Allah untuk menambah takwa. Bukankah itu tujuan hakiki berpuasa Ramadan?
Beliau juga bingkas membetulkan kekeliruan kononnya malam Lailatul Qadar itu dapat disaksikan kejadian yang pelik dan ganjil, misalnya air berhenti mengalir dan pohon kayu tunduk ke bumi. Semuanya itu adalah hal yang tidak dapat dipertanggngwabkan menurut ilmu agama sebenar.
Buya Hamka seterusnya memetik pandangan ayahanda beliau, Syeikh Yusuf Amrullah, yang meninggal ketika usia 86 tahun pada 11 Ramadan 1392H atau 19 Oktober 1972. Syeikh Yusuf menjelaskan kepada Buya Hamka yang menziarahinya pada 10 April 1972 bahawa berdasarkan kepada pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar, Lailatul Qadar yang sebenar hanya terjadi sekali sahaja, iaitu ketika al-Quran mula-mula diturunkan. Manakala yang seharusnya kita lakukan dalam konteks masa kini ialah memperingati dan memuliakan malam al-Quran tersebut. Kita kenangkan setiap tahun agar kita bertambah teguh memegang segala isi kandungan, mesej dan perintah yang terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Maka baca, fahami, amalkan dan sebarkan mesej keabadian al-Quran kepada seluruh manusia sejagat.
Menurut Hamka, kita hidupkan malam-malam terakhir ini dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah kerana bertepatan dengan malam itulah al-Quran mulai diturunkan. Kemudian berdiri melaksanakan qiyammullail atau solat tarawih pada seluruh malam bulan Ramadan. Juga menambah ramainya kehadiran jemaah hadir ke masjid atau surau pada malam-malam terakhir Ramadan ini.
Demikian itu pandangan dan perspektif Buya Hamka dalam tafsir al-Azhar berkaitan surah al-Qadr ini. Kitab tafsir al-Quran yang ditulis Buya Hamka ketika berada dalam tahanan ini, sepenuhnya dalam bahasa Melayu memberikan kita pencerahan dalam hal-hal memahami al-Quran dan mengaplikasikannya dalam konteks kehidupan kini dan masa ke muka. Al-Quran merupakan sebuah kitab hidayah dan “waze” (petunjuk jalan) yang paling utama memandu seluruh hidup kita sampailah ke negeri abadi kelak. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001