6 jemaah umrah Indonesia maut kemalangan bas di Arab Saudi

6 jemaah umrah Indonesia maut kemalangan bas di Arab Saudi

JAKARTA – Enam jemaah umrah dari Indonesia maut, manakala 14 lagi cedera dalam kemalangan bas di jalan Madinah-Mekah, Arab Saudi, kelmarin, menurut Kementerian Luar Indonesia.

Pengarah Perlindungan Warganegara kementerian itu, Judha Nugraha, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan (jam 5.30 petang waktu Indonesia barat) di Wadi Qudeid, kira-kira 150 kilometer dari Jeddah.

“Berdasarkan laporan awal, bas itu terbabit dalam perlanggaran dan terbalik lalu terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah yang segera dimaklumkan mengenai insiden itu, menghantar pasukan Unit Perlindungan Warganegara Indonesia ke lokasi kejadian.

Pegawai juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi, hospital, pengendali pelancongan, Kementerian Haji, Muassasah dan syarikat bas untuk menilai situasi serta memberikan bantuan sewajarnya.

“Kementerian Luar turut bekerjasama dengan Kementerian Agama serta agensi umrah untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai jemaah Indonesia terbabit dan keluarga mereka di tanah air,” kata Judha.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital di Arab Saudi untuk menerima rawatan, manakala keluarga mereka telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Kerajaan Indonesia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga enam mangsa yang terkorban, dan memberi jaminan bahawa sokongan akan terus diberi kepada mereka yang sedang menerima rawatan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *