KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani mempunyai beberapa mekanisme untuk mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi global terhadap rakyat, termasuk mengekalkan subsidi bahan api, menyalurkan bantuan tunai dan memperkukuh bekalan makanan tempatan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kenaikan harga komoditi dunia yang dijangka mencecah 23 peratus pada 2026, menurut unjuran Bank Dunia, didorong beberapa faktor antarabangsa, termasuk konflik di Asia Barat, penyusutan stok minyak, gangguan penghantaran bijirin dan ancaman fenomena El Niño.
Menurutnya, perkembangan itu adalah kejutan geopolitik global, bukannya berpunca daripada kelemahan ekonomi Malaysia semata-mata.
Beliau berkata, sebagai sebuah ekonomi terbuka yang mempunyai hubungan perdagangan antarabangsa, Malaysia tidak terkecuali daripada kesan perubahan harga komoditi, khususnya terhadap kos tenaga, pengangkutan, makanan dan pengeluaran.
Bagaimanapun, Mujahid berpandangan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga, kekuatan ringgit serta langkah dasar kerajaan dapat membantu mengurangkan tekanan kenaikan kos berkenaan.
Beliau turut merujuk jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa inflasi negara kekal terkawal pada kadar antara 1.5 hingga 2.5 peratus.
Mujahid berkata, kerajaan tidak hanya menunggu perkembangan pasaran global, sebaliknya mengambil beberapa langkah bagi melindungi kuasa beli rakyat dan mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.
Antara langkah yang dinyatakan ialah mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, menyediakan peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain RM750 juta untuk pelaksanaan Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada bahan api, bantuan kewangan dan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan ketika pasaran dunia berdepan ketidaktentuan.
“Kerajaan tidak mampu mengawal peperangan dan pergolakan dunia, tetapi masih mampu mengawal sejauh mana kesannya sampai kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, pendekatan melalui subsidi bersasar, bantuan langsung, disiplin fiskal dan pengukuhan bekalan makanan tempatan penting bagi memastikan kesan kejutan ekonomi global tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat.
Mujahid yakin gabungan langkah berkenaan dapat membantu kerajaan mengurus tekanan ekonomi semasa, namun usaha berterusan diperlukan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan dan bekalan barangan asas kekal mencukupi.
Beliau berkata, cabaran kenaikan harga komoditi global memerlukan kerajaan terus memperkukuh daya tahan ekonomi negara, di samping memastikan dasar yang dilaksanakan mampu melindungi rakyat daripada kesan turun naik pasaran antarabangsa.
Dalam keadaan harga tenaga dan makanan dunia tidak menentu, keberkesanan langkah kerajaan akan turut bergantung pada keupayaan mengawal tekanan kos, memastikan bantuan bersasar sampai kepada penerima serta mengekalkan kestabilan bekalan domestik.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
