Rumah Hakim Mahkamah Syariah Bachok terbakar, lebih 500 kitab musnah

Rumah Hakim Mahkamah Syariah Bachok terbakar, lebih 500 kitab musnah

18/03/2025

KOTA BHARU – Kediaman Hakim Mahkamah Syariah Bachok, Zulkiflee Mohamed di Kampung Bunut Payong di sini, terbakar malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila semua penghuni tiada di rumah kerana sedang bersolat tarawih di masjid berasingan.

Zulkiflee, 58, berkata, beliau yang berada di Masjid Langgar di sini, menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya mengenai kediaman mereka sedang terbakar lalu segera pulang ke rumah.

“Sebaik tiba, api sedang marak dan saya segera mencari anak bongsu kerana menyangka dia ada di rumah, rupa-rupanya dia juga tiada ketika kejadian kerana berada di masjid tidak jauh dari rumah.

“Tiada apa yang dapat kami lakukan hanya mampu melihat rumah hangus. Paling menyedihkan apabila mengenangkan lebih 500 buah kitab pengajian yang saya simpan dalam tiga almari turut rentung.

“Sebahagian kitab itu saya kumpul sejak zaman pengajian di Mesir lagi dan digunakan untuk bacaan peribadi serta menyampaikan ceramah di masjid,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Zulkiflee berkata, menurut jiran tetangga, api bermula dari ruang dapur dan merebak ke bahagian lain dengan kerosakan sebanyak 70 peratus, malah sebuah pacuan empat roda Ford Ranger turut musnah.

Katanya, kemungkinan besar kebakaran tercetus disebabkan suis utama periuk tekanan multifungsi tidak ditutup, namun menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak bomba.

“Saya perasan suis utama periuk itu tidak ditutup ketika ingin ke masjid dan kemungkinan itu yang menyebabkan kebakaran.

“Selain kitab pengajian, ada juga sedikit wang tunai serta barangan kemas turut hangus, tapi paling penting semua ahli keluarga selamat, Alhamdulillah,” katanya.

Zulkiflee berkata, buat masa sekarang mereka enam beranak menumpang rumah iparnya untuk sementara waktu dan akan berpindah ke rumah baharunya yang hampir siap dibina tidak jauh dari lokasi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, seramai 22 pegawai dan anggota dari empat balai dengan bantuan BBP Kota Bharu, BBP Tunjong dan BBP Wakaf Bharu tiba di lokasi.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 9.34 malam dan kebakaran membabitkan rumah jenis kekal dengan kemusnahan sebanyak 70 peratus,” katanya sambil memberitahu punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Harian Metro

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *