Sapura Energy: Bantuan RM1.1 Bilion, Bailout atau Strategi Pemulihan?

Sapura Energy: Bantuan RM1.1 Bilion, Bailout atau Strategi Pemulihan?

ISU Sapura Energy Berhad (SEB) kembali hangat apabila kerajaan mengumumkan suntikan RM1.1 bilion melalui Special Purpose Vehicle (SPV) pada 2025. Namun, adakah ini satu bailout seperti yang pernah dicadangkan dahulu?

Tahun 2022: Cadangan Bailout Tanpa Syarat

Ketika debat pada 2022, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Petronas membeli saham Sapura tanpa syarat, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketika itu ketua pembangkang) menegaskan audit forensik perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau juga membangkitkan isu ketidakcekapan pengurusan serta keperluan penstrukturan semula.

Sapura Energy kemudiannya diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 kerana kerugian RM8.9 bilion dalam tahun kewangan 2022, hutang RM10.3 bilion dan masalah kecairan, projek berlebihan kos dan kelewatan pembayaran serta gagal membayar pinjaman RM10 bilion pada Disember 2021.

Tahun 2024: Audit dan Penstrukturan Semula

Audit forensik oleh Ernst & Young (EY) mendapati tiada isu perakaunan yang serius dan Sapura dikendalikan dengan ketelusan kewangan. Pada Januari 2025, CEO baharu dilantik untuk menerajui pelan pemulihan syarikat.

Tahun 2025: Suntikan RM1.1 bilion – Bailout atau Tidak?

Suntikan dana oleh kerajaan kali ini bukan “cek kosong”, tetapi khusus untuk melunaskan hutang kepada 2,000 vendor tempatan dalam sektor minyak dan gas. Ini adalah langkah menyelamatkan ekosistem perniagaan yang lebih luas, bukan sekadar menyelamatkan Sapura Energy itu sendiri.

Antara strategi pemulihan Sapura Energy ialah penyusunan semula hutang, penstrukturan semula operasi, suntikan modal bersyarat dan pengurangan kos.

Jika dahulu cadangan bailout dibuat tanpa audit dan tanpa syarat, kali ini pendekatan kerajaan lebih teliti. Audit sudah dilakukan, pengurusan telah diperbaiki dan suntikan dana adalah bersyarat.

Matlamat utama bukan menyelamatkan pemegang saham, tetapi memastikan vendor tempatan dibayar dan industri minyak dan gas kekal stabil.

Dengan strategi ini, Sapura Energy berpotensi keluar daripada status PN17 seperti kejayaan AirAsiaX sebelum ini. Ini bukan bailout, tetapi langkah strategik pemulihan ekonomi. – Warta Semasa

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *