Sebut perkataan menghasut: Muhyiddin kekal pengakuan tidak bersalah

Muhyiddin cadang tubuh RCI siasat ketirisan industri padi, beras

14/03/2025

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan dalam industri padi dan beras.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuat saranan itu untuk mencari penyelesaian membabitkan makanan ruji utama negara termasuk dakwaan kegiatan mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) yang dijual dengan harga lebih tinggi.

Menurutnya, beliau ada bertemu dengan wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) yang membangkitkan pelbagai isu.

Antaranya peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli.

Sehubungan itu, jelasnya, petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 daripada RM1,300 per tan metrik yang baharu saja dinaikkan, bulan lalu.

“Isu dalam industri beras dan padi itu perlu diselesaikan secara menyeluruh melibatkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta penglibatan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

“Dalam hal ini saya cadangkan kerajaan menyediakan satu Kertas Putih Industri Padi dan Beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri itu.

“Satu RCI juga wajar ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat, katanya.

Muhyiddin pada 13 Feb lalu dalam perbahasan di Dewan Rakyat menggesa kerajaan mewujudkan kertas putih industri padi dan beras supaya isu itu dapat diselesaikan secara komprehensif.

Sebelum ini Mardi dilapor mengesahkan kira-kira 40% hingga 50% BPI daripada 5,000 sampel dianalisisnya bercampur BPT yang berlaku di peringkat pengilang dengan petani menanam padi menggunakan benih tempatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *