KJTS, Stonepeak wujudkan kerjasama pelaburan bernilai RM1.5 bilion

KJTS, Stonepeak wujudkan kerjasama pelaburan bernilai RM1.5 bilion

14/03/2025

KUALA LUMPUR – KJ Technical Services Sdn. Bhd. (KJTS SB) dan Stonepeak, firma pelaburan alternatif terkemuka bekerjasama mewujudkan entiti kerjasama pelaburan bernilai RM1.5 bilion, dalam aset infrastruktur penyejukan.

Perkongsian ini adalah berdasarkan 90 peratus kepentingan ekuiti yang dipegang oleh Stonepeak, dengan baki 10 peratus kepentingan ekuiti dipegang oleh KJTS SB yang merupakan anak syarikat KJTS Group Bhd.

Usahasama itu akan distrukturkan melalui entiti baru ditubuhkan yang akan menumpukan pada pembangunan dan pelaburan dalam memiliki aset penyejukan daerah di Malaysia.

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KJTS Group, Azura Azman berkata, di bawah terma perjanjian, KJTS SB akan mengetuai pengenalpastian dan pemerolehan aset sambil memastikan penjajaran dengan strategi peralihan tenaga.

“Dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyelenggaraan (EPCC), KJTS SB akan menggunakan kepakaran kejuruteraannya untuk menyampaikan penyelesaian penyejukan berkecekapan tinggi.

“Selain itu, sebagai penyedia perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan (O&M), KJTS SB akan melaksanakan jaminan berasaskan prestasi untuk memaksimumkan kecekapan, kebolehpercayaan dan penjimatan kos untuk pengguna akhir,” katanya.

Kata Azura, Stonepeak akan menyumbangkan modal kewangan dan pengawasan strategik, membimbing strategi pelaburan dan pengembangan portfolio Syarikat JV.

Dengan pengalaman luas dalam pelaburan infrastruktur global, Stonepeak membawa hubungan industri yang berharga dan kepakaran dalam menskala projek peralihan tenaga berimpak tinggi.

Syarikat usahasama distrukturkan untuk mengimbangi kepimpinan kewangan dengan kepakaran operasi, memastikan model yang mampan dan berskala untuk kejayaan jangka panjang.

Kedua-dua pihak percaya pelaburan ini sejajar dengan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga Malaysia (EECA) 2024, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Kebangsaan (NEEAP) 2016–2025, dan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) 2021–2030.

Ia juga melengkapkan Inisiatif Cool ASEAN, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam kemajuan infrastruktur penyejukan serantau.

“Dengan memodenkan infrastruktur dan meningkatkan aset penyejukan kecekapan tinggi, Syarikat JV menyasarkan untuk menetapkan standard baharu bagi penyelesaian penyejukan cekap tenaga di rantau ini,” tambah Azura. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *