Khidmat 6 hakim dilanjut, status Tengku Maimun belum jelas, menurut sumber

Khidmat 6 hakim dilanjut, status Tengku Maimun belum jelas, menurut sumber

13/03/2025

PETALING JAYA – Tempoh perkhidmatan enam hakim Mahkamah Persekutuan dan dua pentadbir kehakiman yang akan bersara tahun ini telah dilanjutkan selama enam bulan, menurut beberapa sumber.

Bagaimanapun, status Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat masih belum jelas, kata sumber yang dipetik laporan FMT.

Sumber memaklumkan, Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim yang memegang jawatan itu November lalu akan kekal sehingga 14 November ini dan akan berusia 66 tahun pada 13 Mei ini.

Hakim lain yang dikatakan ditawarkan pelanjutan ialah Zabariah Yusof yang akan bersara pada 10 April, Abdul Karim Abdul Jalil (10 April) dan Hanipah Farikullah (23 Mei).

“Bagaimanapun, Abdul Karim tidak berminat untuk terima tawaran itu,” kata sumber kepada FMT.

Perkara 125 Perlembagaan menyatakan, hakim mahkamah atasan hendaklah memegang jawatan sehingga 66 tahun, tetapi tempoh perkhidmatan mereka boleh dilanjutkan sehingga enam bulan jika diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman sebelum ini telah mengemukakan nama hakim yang disyorkan untuk pelanjutan.

“Salinan senarai itu biasanya dihantar ke Jabatan (Pejabat) Perdana Menteri kerana pelanjutan ini membawa implikasi kewangan kepada kerajaan,” tambah sumber itu.

Kumpulan kedua hakim yang dijangka menerima surat pelanjutan ialah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, yang akan bersara pada 1 Julai, dan Nallini Pathmanathan (21 Ogos).

“Bagaimanapun, pada ketika ini, atas sebab yang hanya diketahui oleh pihak berkuasa yang melantik, kedudukan Tengku Maimun masih belum jelas,” tambah sumber itu.

Tengku Maimun, wanita pertama dilantik sebagai hakim tertinggi negara, memegang jawatan itu pada Mei 2019 dan akan bersara pada 30 Jun tahun ini.

Pada pembukaan tahun undang-undang pada Januari, beliau menyeru agar kebebasan badan kehakiman dipertahankan dalam apa jua keadaan dan berkata tidak patut ada campur tangan ‘pihak luar’ dalam pelantikan dan peningkatan hakim, topik yang mungkin menakutkan badan eksekutif.

Sementara itu, Hakim Harmindar Singh Dhaliwal ditetapkan untuk bersara pada 21 April, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli pada 25 Julai. Kedua-duanya sudah memasuki tempoh lanjutan.

Semua hakim mahkamah tertinggi yang lain — Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, Abu Bakar Jais, Vazeer Alam Mydin Meera, dan Ahmad Terrirudin Salleh — akan kekal memegang jawatan mereka antara tiga hingga lapan tahun.

Sementara itu, Tengku Maimun dikatakan mempunyai tugas yang mencabar untuk menetapkan koram hakim untuk mendengar rayuan kes jenayah dan sivil kerana tiada berita mengenai sama ada lanjutan akan diberikan.

“Beliau mahu memastikan ketiga-tiga hakim dalam panel-panel ini masih memegang jawatan apabila penghakiman disampaikan,” kata sumber.

Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan bahawa prosiding boleh diteruskan dan penghakiman disampaikan walaupun hanya dua hakim kekal dalam panel dengan syarat keputusan itu sebulat suara.

Peruntukan itu juga menyatakan bahawa jika keputusan dua hakim yang tinggal itu tidak sebulat suara, prosiding akan dibicarakan semula di bawah Seksyen 78(2) akta sama.

Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata keberadaan Badan Peguam yang bebas akan menjadi jawapan terbaik kepada sebarang percubaan untuk menumbangkan atau menghapuskan kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Badan Peguam mesti menyokong badan kehakiman kerana ia dikekang daripada mempertahankan dirinya secara terbuka,” kata Salim.

Seorang peguam, Alex De Silva, memfailkan dua usul — satu mengenai pelantikan kehakiman dan kebebasan badan kehakiman, dan satu lagi mengenai peranan Badan Peguam dalam mempertahankan badan kehakiman — sebelum mesyuarat agung tahunan ke-79 Badan Peguam pada Sabtu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *