13/03/2025
PETALING JAYA – Mahkamah Perusahaan memutuskan MAB Kargo Sdn. Bhd. berhak memecat seorang pegawainya yang dirakam bermain sepak takraw dan memotong pokok menggunakan jentera berat ketika cuti sakit.
Presiden Mahkamah Perusahaan, Zulhelmy Hasan berkata, Che Zamberi Che Ani menyalahgunakan cuti sakit berpanjangan dan ia bukan salah laku kecil yang boleh diterima syarikat itu.
Menurutnya, ia undang-undang biasa bahawa cuti sakit diberikan untuk membolehkan pekerja yang sakit pulih.
“Ia jelas ditunjukkan syarikat itu atas imbangan kebarangkalian bahawa pihak menuntut (Che Zamberi) melanggar amanah dan kepercayaan terhadapnya apabila dia menyalahgunakan cuti sakit berpanjangannya.
“Undang-undang dalam bidang salah laku ini jelas. Penyalahgunaan cuti sakit, termasuk cuti sakit berpanjangan adalah salah laku serius yang mewajarkan pemecatan,” katanya dalam award 5 Mac lalu yang dilihat FMT.
Zulhelmy berkata, Che Zamberi bernasib baik dapat mengekalkan kerjanya pada 2015 apabila Malaysia Airlines memecat 6,000 hingga 8,000 kakitangan.
Beliau kecewa kerana Che Zamberi memilih untuk melanggar kepercayaan terhadapnya, walaupun menerima gaji penuh ketika cuti sakit selama empat bulan.
Che Zamberi bekerja dengan syarikat itu selama enam tahun dari 2015 hingga 2021 dan merupakan pegawai penerimaan ketika dipecat.
Tetapi, Zulhelmy berkata, tempoh perkhidmatan tidak boleh menggantikan kepercayaan sudah hancur syarikat itu terhadap Che Zamberi.
Tetapi, Zulhelmy berkata, tempoh perkhidmatan tidak boleh memulihkan kepercayaan syarikat itu yang sudah terjejas terhadap Che Zamberi.
Che Zamberi menegaskan dia perlu dibenarkan menyertai aktiviti kejiranan dan tidak boleh berkurung di rumah semasa cuti sakit.
Tetapi, Zulhelmy berkata, mahkamah memutuskan pekerja tidak berhak memutuskan perkara yang boleh atau tidak boleh mereka lakukan ketika cuti sakit.
Che Zamberi mengalami kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya pada 22 Mei 2021, menyebabkan dia dimasukkan ke hospital dan diberikan cuti sakit sehingga 21 September tahun itu.
Zulhelmy berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan Che Zamberi memanjat pokok pada 24 Julai dan rakaman video menunjukkan dia menggunakan gergaji rantai untuk menebang pokok serta bermain sepak takraw pada 25 Julai dan 9 September tahun itu.
Katanya, jawatankuasa rayuan disiplin MAB membincangkan semua fakta dan keadaan kes itu sebelum memutuskan untuk mengekalkan keputusan memecatnya.
Beliau berkata, memandangkan pihak menuntut mengakui salah laku itu, mana-mana majikan akan mendapati tindakannya sama dengan salah laku serius yang menyebabkan dia perlu dipecat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001