05/03/2025:
KUALA LUMPUR – Enam kakitangan stesen radio Era FM dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk dirakam percakapan berhubung siasatan mengenai dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Difahamkan enam kakitangan itu termasuk tiga penyampai radio stesen terbabit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata enam individu terbabit dijadualkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, kira-kira jam 11 pagi ini.
“Mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Razarudin, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
BH semalam melaporkan, polis mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung rakaman video yang didakwa mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial.
Ia selepas laporan dibuat seorang jurutera berusia 44 tahun yang melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu.
Razarudin dilaporkan berkata, pengadu mendakwa beberapa individu daripada radio terbabit didakwa bersorak perkataan ‘Vel,Vel’ manakala seorang lelaki sedang menari.
Semalam, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.
Video berkenaan yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen terbabit memaparkan seorang daripada mereka meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa rakan lain
Terdahulu, video terbabit mencetuskan kemarahan Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap stesen radio Era FM.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula dilaporkan berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan sebuah stesen radio.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001