Hospital Terapi Hati (Siri 2)

Hospital Terapi Hati – (Siri 2)

03/03/2025:

Oleh: Mohd. Shah Abdullah

Meskipun terkurung di sini, wad hospital bukan tempat bermurung. Jangan sesekali melayan fikiran tidak keruan, nanti bosan dan tertekan.

Selepas ditemui doktor dan diperiksa berkala oleh jururawat yang selalu sopan, kita boleh berbuat sesuatu. Jangan dilayan tidur dan mengelamun tanpa tujuan, nanti kata orang Negeri Sembilan, badan jadi ‘basau’, ‘lemau’ dan tidak bermaya. Fikiran boleh jadi kacau-bilau.

Jadi, usai solat Subuh tadi dan menikmati juadah sahur yang enak, kita rehatkan hati sambil membuka lembaran kitab suci sambil membaca dan merenung segala mutiara permata yang terkandung di dalamnya.

Lagi pula bulan Ramadan kesempatan terbaik untuk terus membaca dan mentadabbur segala kandungan mukjizat teragung kepada seluruh makhluk ini.

Malah, al-Quran ini juga kitab syifa atau penawar bagi segala penyakit, baik jasmani mahu pun rohani.

Ya, saya sedang diuji sakit jasmani, tetapi rohani saya pun selalu berpenyakit. Satunya, daki kotoran mazmumah yang menyeliputi hati. Lalu ia kotor, hitam dan berkeladak.

Dalam ‘Tombol Ati’ dikatakan ubat hati itu lima perkara, salah satunya selalu baca al-Quran.

Ya, persis sekali. Bila baca al-Quran, kita melihat bukan sahaja dunia luar yang berserabut dan gelagat manusia yang beragam kalut tetapi diri kita yang selalu kelam-kelibut. Sengaja mencari resah, masalah dan rebah walhalnya al-Quran kitab hidayah bukan sekadar memiliki barakah tetapi menawar solusi dan formula terindah.

Benar-benar jika dihayati meskipun di wad hospital terkurung begini boleh timbul bosan tetapi menyelami lapisan tersembunyi, terhidang hikmah yang tidak disedari.

Mungkin hidangan Ramadan ini membawa ribuan erti. Hingga Madrasah Ramadan kali ini terasa sekali auranya hanya selepas berkurung seorang diri.

Kita lebih menghargai kini erti kasih isteri, keluarga, sahabat, jiran tetangga, dan tidak kurang signifikannya harga sebuah ilmu untuk mentafsirkan jalur dan liku hidup dari sudut pandangan lebih maknawi.

Kita menghargai segala nikmat kesihatan kerana pada penghujung usia ini harga sihat bukan lagi gratis. Ia mahal dan perlu penjagaan teliti.

Kita lebih memuliakan sebuah persahabatan, persaudaraan, kasih sayang, dan ukhuwah kerana semua manusia itu sama meski berbeza agama, budaya, kaum dan ideologi anutan.

Seperti judul karya Sasterawan Ulung, Pramoedya Ananta Toer ‘Bumi Manusia’, kita menginap di bumi milik semua tanpa garis sempadan pemisah.

Kita impikan sebuah kebahagian kerana kehidupan kini semakin hilang keinsanan, kemanusiaan, kasih sayang.

Yang terbentang kebendaan, kezaliman, penyiksanaan, keganasan dan petualangan.

Semua ini mesti dilawan dan dihentikan.

Madrasah Ramadan membawa tema dan gagasan ‘Rahmat Buat Seluruh Alam’. Mari kita semaikan falsafah Cinta lewat Ramadan yang mulia.

Kita sebarkan salam dan amalikan adab kesopanan kerana dunia perlu aman, manusia perlu tenteram. – (Dari kamar wad KPJ Seremban ketika fajar indah menyinsing datang)

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *