Tentera Israel dikerah lancar operasi di Tebing Barat selepas letupan bas

Tentera Israel dikerah lancar operasi di Tebing Barat selepas letupan bas

21/02/2025:

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera menjalankan operasi di Tebing Barat selepas beberapa siri letupan dalam bas berhampiran Tel Aviv, yang disifatkan sebagai percubaan serangan besar-besaran.

Polis Israel berkata, tiga bas diletupkan di dua pinggir bandar Israel di luar Tel Aviv dan empat bahan letupan ditemui.

“Tentera sedang membantu polis dan agensi perisikan Shin Bet dalam siasatan untuk mencari suspek serta menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada ketika bas lain diperiksa,” menurut tentera dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan letupan berlaku dalam bas di depoh yang kosong dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Letupan itu sebagai peringatan yang nyata mengenai pengeboman bas yang dahsyat di Israel, antara ciri kebangkitan Palestin pada tahun 2000-an, walaupun serangan sebegitu kini jarang berlaku.

Susulan letupan bas itu, Netanyahu bertemu dengan menteri pertahanan, ketua tentera dan Shin Bet serta pesuruhjaya polis.

Tentera berkata, ia akan memperhebatkan operasi memerangi keganasan di Tebing Barat dan menyekat pintu masuk di kawasan tertentu, tanpa menyatakan di mana.

Tentera turut memperhebatkan operasi ketenteraan berskala besar di Tebing Barat sejak sebulan lalu, yang dikatakan menyasarkan pejuang Islam.

Sementara itu, puluhan ribu rakyat Palestin dipaksa meninggalkan rumah mereka di kem pelarian di Gaza dan Tebing Barat, manakala rumah serta infrastruktur dirobohkan.

Letupan bas berlaku di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh di Gaza antara kumpulan Hamas dan Israel selepas 16 bulan perang.

Semalam, Hamas membebaskan mayat empat tebusan.

Gencatan senjata dilaksanakan pada 19 Januari lalu walaupun terdapat tuduhan oleh Israel dan Hamas sebagai pelanggaran.

Menteri Pengangkutan Israel memberitahu Pihak Berkuasa Transit Awam bahawa semua bas, kereta api dan kereta api ringan harus dihentikan dan diperiksa, lapor media Israel. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *