ABIM kecam cadangan Trump usir warga Gaza

PUTRAJAYA – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengecam cadangan tidak masuk akal Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang ingin menduduki Gaza serta mengusir warganya secara kekal ke negara lain.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, pihaknya melihat cadangan itu sebagai satu bentuk penjajahan moden yang tidak boleh diterima serta tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, cadangan itu dilihat untuk merealisasikan kembali ‘Deal of the Century’ diusulkan Trump sebelum ini yang secara terbuka mengesampingkan hak asasi warga Palestin yang dirampas selama ini.

“Abim menggesa masyarakat antarabangsa untuk menolak dan membantah cadangan itu kerana ia mencerminkan sikap AS yang jelas tidak menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan sesebuah negara,” katanya pada kenyataan.

Fahmi berkata, usul itu menunjukkan kecenderungan kepimpinan AS untuk bertindak secara semberono dalam politik antarabangsa.

Menurutnya, tidak mustahil tindakan ala ‘koboi’ ini boleh dilakukan terhadap mana-mana negara sekiranya cadangan terhadap Gaza ini diteruskan.

“Tidak mustahil AS akan terus bertindak secara unilateral terhadap negara lain sebagaimana yang sudah dilakukan sebelum ini melalui tindakan menaikkan tarif terhadap Kanada dan Mexico,” katanya.

Fahmi menambah, Abim menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu dalam menolak sebarang bentuk tindakan yang ingin dilakukan Trump kerana ia berada di luar jangkauan manusia yang waras.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *