Isu Ops Sky, Jalaluddin sedia beri kerjasama dengan SPRM

Isu Ops Sky, Jalaluddin sedia beri kerjasama dengan SPRM

KUALA LUMPUR – Pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan sedia memberi kerjasama jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan isu syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.

Meskipun terkejut dengan dakwaan berkenaan, namun Jalaluddin mengakui dia tenang kerana pihak syarikat perunding kewangan berkenaan memberi jaminan dirinya bersama dua selebriti lain tidak terbabit dalam isu berkenaan.

“Bila isu ini timbul, saya agak terkejut. SPRM juga belum hubungi saya. Tetapi jika dihubungi untuk beri kerjasama, sudah tentu saya akan lakukannya.

“Tiada masalah, kami boleh kerjasama. Setakat ini, belum ada apa-apa lagi.

“Pengasas syarikat perunding kewangan berkenaan beritahu, saya selaku duta tidak terkesan apa-apa,” katanya ditemui pada majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam ini.

Jalaluddin berkata, sebagai duta, dia hanya menjalankan tugas seperti termaktub dalam kontrak.

Malah, Jalaluddin mendakwa, tiada sebarang aktiviti mencurigakan sepanjang bergelar duta kepada syarikat pengurusan kewangan berkenaan.

“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu.

“Bila saya tanya mereka kedudukan kewangan sejak dahulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada mencurigakan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas hos Who Wants to Be a Millionaire? itu menafikan menerima bayaran sehingga RM400,000 seperti yang ditularkan.

“Alangkah bertuahnya saya mendapat wang sebanyak ini. Saya tidak mahu cerita dan menafikan perkara ini.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak syarikat pengurusan kewangan tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Jalaluddin disebut sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.

Ia adalah usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.

Sebelum ini, Jalaluddin dipilih menjadi salah seorang duta syarikat sejak setahun lalu bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *