KUALA LUMPUR – Pemanduan secara melulu pemandu Toyota Hilux dan Toyota Vios yang merempuh sekumpulan lelaki menyebabkan sekurang-kurangnya dua cedera di hadapan sebuah pusat hiburan dekat Jalan Klang Lama di sini semalam, disiasat atas kesalahan cubaan membunuh.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata kes terbabit kini siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang melihat insiden itu semalam.
“Dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios itu keluar dari sebuah bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan Kelab Top Plus, Kuala Lumpur.
“Kenderaan terbabit telah melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang mengalami kecederaan dengan seorang mangsa dihantar ke hospital dengan ambulans.
“Kesemua mangsa masih belum membuat laporan tetapi polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan,” katanya.
Ku Mashariman berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 48 saat memaparkan dua kenderaan dilihat sengaja merempuh sekumpulan lelaki di kawasan terbabit.
Turut dilihat seorang lelaki tercampak selepas dirempuh Toyata Hilux, manakala sebuah lagi kenderaan bertindak merempuh lelaki yang berkumpul di kawasan berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001