Berbaloikah pukul orang tidak normal?

Berbaloikah pukul orang tidak normal?

SEHARI dua ni heboh dengan isu manusia normal pukul manusia tidak normal. Kejadian ini berlaku di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Terengganu, ketika orang ramai sibuk membeli barang keperluan.

Punca dikatakan, orang tidak normal itu yang menunggang motosikal tiba-tiba melanggar gerai makan. Habis berselarak mi goreng, kue tiaw goreng di tanah. Pada masa sama juga, datang tiga empat orang normal tanpa usul periksa sebab musabab jadi begitu, teruk memukul, menerajang, menyepak dan menendang orang tidak normal itu.

Tidak cukup dengan itu, orang normal itu mengheret orang tidak normal berkenaan depan khalayak ramai, tanpa sedikit ada rasa kesian atau simpati. Lagak mereka saling tak tumpah macam tentera zionis mengheret rakyat Palestin di Gaza.

Pak Dee tengok pun panas dada, sakit hati. Orang-orang normal itu memperlakukan orang tidak normal itu macam binatang. Ada yang menyepak di muka, ada yang menendang belakang dan ada yang menerajang badan orang tidak normal.

Di mana nilai-nilai kemanusiaan? Memperlakukan kepada insan lain, yang tidak normal pula tu bagai haiwan buruan? Seolah orang tidak normal itu mengancam nyawa manusia yang berkunjung di pasar itu.

Menurut cerita anak kepada orang tidak normal itu, ayahnya pada asalnya terbabas merempuh gerai menjual makanan itu kerana dikatakan ada manusia lain yang menendang motosikal ditunggangnya.

Tendangan itu menyebabkan orang tidak normal gagal mengawal motosikal berkenaan lalu merempuh gerai itu. Apa lagi, mengamuk sakanlah peniaga tu sebab semua makanan untuk dijual habis tumpah ke tanah.

Walau apapun kejadian yang berlaku, orang ramai tak boleh tergesa-gesa campur tangan. Dengar dulu penjelasan orang tidak normal itu, kenapa dia langgar gerai berkenaan. Dah tentulah ada sebab musabab kejadian itu berlaku, bukannya terus meluru menyepak, menerajang tanpa usul periksa. Kesian tengok orang tidak normal itu mengaduh kesakitan.

Sekarang apa sudah jadi? Orang tidak normal dimasukkan ke hospital untuk rawatan atas kecederaan yang dialaminya, manakala orang normal yang menerajang, menendang dan menyepak orang tidak normal itu dimasukkan ke lokap balai polis.

Ini orang tua-tua dulu kata, ‘tak ada kerja cari kerja’, ‘tak ada penyakit cari penyakit’. Elok-elok datang ke pasar untuk membeli barang keperluan, tiba-tiba jadi kes polis.

Tak pasal-pasal kena tidur dua tiga malam dalam lokap untuk sesi soal siasat. Lepas tu kena tunggu pendakwaan. Kalau ada kes, kena turun naik mahkamah. Kalau awal-awal mengaku salah, kena bayar denda ribu-ribu ringgit. Lepas tu sekumpulan peguam yang secara sukarela mahu beri khidmat guaman akan failkan saman kepada orang-orang normal terlibat. Kan tak berbaloi nak tunjuk samseng taik minyak tu.

Pengajaran kepada kejadian itu, ‘janganlah cepat menghakimi orang lain’. Kita ada undang-undang, biar undang-undang tentukan. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *