KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini, mengecam tindakan dan kenyataan pemimpin DAP, Hannah Yeoh yang mendakwa sebagai ‘duta tuhan’ dalam mengajar agama Kristian secara halus di negara ini menerusi platform politik.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris turut mempersoalkan adakah Menteri Belia dan Sukan itu mahu menjadikan Kristian sebagai agama untuk menggantikan agama Islam yang sudah termaktub sebagai agama Persekutuan negara.
“Perkasa tidak hairan dengan sikap segelintir pimpinan DAP yang mahu berdakwah agama Kristian kerana sebelum ini pun, Hannah juga pernah mencetuskan kontroversi dengan membuat program jom ke gereja kepada orang Islam terutama generasi muda melalui Kementerian Belia dan Sukan.
“Perkasa ingatkan Hannah agar belajar memahami perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini juga termasuk perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan bilamana disebutkan Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
“Hannah juga perlu faham perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawali atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti Islam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan peguam Tan Sri Musa Hassan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Hannah terhadap bekas Ketua Polis Negara itu.
Peguam Tetuan Azam Aziz & Co dalam kenyataan itu memaklumkan, beberapa pengakuan daripada Hannah bahawa dia mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia menerusi penglibatan politiknya menjadi asas kepada keputusan Mahkamah Tinggi hari ini untuk menolak saman fitnahnya terhadap Musa.
Katanya, Hannah gagal dalam samannya terhadap Musa berhubung ucapan di sebuah forum empat tahun lalu yang mendakwa ahli Parlimen Segambut itu mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang boleh merosakkan Islam dan negara.
Peguam Musa yang menyambut baik keputusan menolak saman tersebut, berkata mahkamah telah mempertimbangkan hakikat bahawa pemimpin DAP itu sendiri di dalam bukunya, “Becoming Hannah”, mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia sekembalinya ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara bagi menjalankan peranannya sebagai “Ambassador of God” (duta Tuhan) untuk “menyebarkan ‘ajaran tuhannya’ melalui pejabat politiknya”.
Mengulas lanjut, Irwan Fahmi menggesa pemimpin parti politik Melayu yang ada dalam kerajaan hari ini tidak berdiam diri apabila isu agama disentuh oleh mana-mana pihak atau individu yang mempunyai kepentingan tertentu.
Perkasa juga katanya, menggesa Hannah menjaga segala tingkah laku atau apa juga kenyataan yang boleh mencetuskan kontroversi sensitif kepada Umat Islam di negara ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252