Amirudin akui lebih selesa kekal terajui Selangor

Sultan titah saya kekal di Selangor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini, demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.

Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua menerusi satu kenyataan berkata demikian berikutan pelbagai spekulasi yang menular ketika ini.

“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini. Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.

“Saya akan kekal di Selangor hingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya menerusi kenyataan melalui aplikasi WhatsApp malam tadi.

Sebelum ini media melaporkan dakwaan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, serta dakwaan bahawa Tengku Zafrul akan menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.

Amirudin berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 sejak Jun 2018. Beliau juga naib presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan Selangor.

Pagi semalam, akaun audio siar Keluar Sekejap di platform X menulis Tengku Zafrul Aziz disebut bakal menggantikan Amirudin sebagai menteri besar.

Memetik sumber, mereka mendakwa Amirudin dijangka bakal dilantik sebagai menteri di persekutuan.

Semalam, media melaporkan rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR, memetik sumber dalaman UMNO Selangor.

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bagaimanapun memaklumkan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tiada pemakluman daripada Tengku Zafrul berkait ura-ura akan menyertai PKR.

Tengku Zafrul menjadi ahli UMNO sejak 1997 dan menyertai majlis kerja tertinggi pada Mac lalu dalam pemilihan parti penggal 2023-2026.

Zahid turut membuat teguran kepada rakan komponen kerajaan perpaduan supaya tidak ‘mencuri’ ahli parti lain.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *