SUNGAI BESAR – Menyedari wujud spekulasi perubahan tampuk pentadbiran di Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan akan menamatkan teka-teki itu dalam masa terdekat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Antarabangsa itu dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi menjawab desas desus beliau akan menyertai PKR
Beliau turut menunjukkan reaksi bersahaja namun enggan mengulas lanjut ketika ditanya pemberita.
“Sebenarnya, saya belum pun buat apa-apa komen mengenai politik yang membabitkan diri saya. Pada masa sama kita mendengar semalam Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari membuat kenyataan beliau akan kekal sehingga akhir penggal.
“Apa yang saya tahu ada banyak spekulasi yang bermain di luar sana. Untuk menjawab isu ini, Insya-Allah saya akan membuat kenyataan dalam masa terdekat,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Larian KITA@Bagan Terap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, di sini, hari ini.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan program itu yang dihadiri lebih 2,000 peserta.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Ketika ditanya lanjut sama ada beliau akan menjawab perkara itu selepas Kongres Nasional PKR 2024, Tengku Zafrul berkata, ia tidak ada kena mengena dengan kongres itu.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan rundingan dikatakan giat dilakukan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.
Sumber dalaman UMNO Selangor dikatakan mendakwa, keputusan mengenainya akan dibuat dalam tempoh terdekat.
Tengku Zafrul menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja pada Januari 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulan berikutnya, lapor Berita Harian.
Sementara itu Amirudin dalam kenyataan malam tadi menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini, demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua berkata demikian berikutan pelbagai spekulasi yang menular ketika ini.
“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini. Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.
“Saya akan kekal di Selangor hingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya menerusi kenyataan melalui aplikasi WhatsApp.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252