LONDON – Juara bertahan Manchester United akan bertandang ke Emirates bertemu juara 14 kali, Arsenal pada pusingan ketiga Piala FA bulan depan, manakala Manchester City, Liverpool dan Chelsea diundi bertemu kelab divisyen empat di laman sendiri.
United, pemenang 13 kali kejohanan itu, terlebih dahulu akan melakukan kunjungan ke Arsenal untuk aksi Liga Perdana Inggeris esok (awal pagi Khamis).
Pusingan ketiga Piala FA, kejohanan yang menemukan kelab Liga Perdana Inggeris dan kelab-kelab divisyen lain, akan berlangsung dari 9 hingga 13 Januari.
Aston Villa, yang memenangi tujuh gelaran Piala FA, akan melayan kunjungan West Ham United dalam satu lagi pertembungan antara dua kelab Liga Perdana Inggeris.
Naib juara musim lalu, Man City akan bertemu Salford City, manakala pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool melayan kunjungan Accrington Stanley dan Chelsea menentang kelab Liga Dua, Morecambe.
Juara lapan kali, Tottenham Hotspur akan bertandang ke kelab di luar liga, Tamworth.
Tamworth dan Dagenham&Redbridge adalah kelab di luar liga yang berjaya mara hingga ke pusingan ketiga tahun ini, dengan Dagenham&Redbridge akan bertemu Millwall.
Brighton and Hove Albion, pasukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, akan bertandang ke laman kelab Liga Kejuaraan, Norwich City.
Pendahulu Liga Kejuaraan, Sheffield United akan menerima kunjungan Cardiff City, yang berada di tangga ke-20. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252