BERITA UTAMA
Ewon dilantik ketua PH Sabah, Upko mungkin tuntut banyak kerusi, kata penganalisis

Ewon dilantik ketua PH Sabah, Upko mungkin tuntut banyak kerusi, kata penganalisis

PETALING JAYA – Upko mungkin menuntut lebih banyak kerusi pada PRN dalam rundingan bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH), sesuai dengan kedudukan Presidennya Ewon Benedick sebagai ketua gabungan itu, kata penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, mustahil Upko dipimpin Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick akan berpuas hati dengan hanya mengekalkan status quo kerusi sedia ada atau menerima pembahagian kerusi milik Warisan.

Pada PRN lalu, Upko bertanding 12 DUN namun hanya menang di kerusi Kadamaian ditandingi Ewon.

“Tidak mungkin Upko akan akur dengan satu kerusi sahaja dalam rundingan pengagihan kerusi kelak.

“Upko pasti akan menuntut jumlah kerusi signifikan untuk membolehkan mereka nampak lebih menonjol dalam arena politik Sabah,” kata Lee kepada FMT, mengulas kemenangan Ewon sebagai pengerusi PH Sabah yang baharu menggantikan Ketua PKR Kota Kinabalu Christina Liew.

Romzi Ationg juga dari UMS pula berpandangan, status Ewon sebagai menteri tidak semestinya mampu meningkatkan sokongan Upko yang kini masih bergelut untuk bertapak sebagai sebuah parti tempatan.

“Status sebagai menteri tidak semestinya boleh meningkatkan sokongan pengundi sekiranya parti ini tidak berupaya memastikan kehendak pengundi, khususnya hak mereka gagal diangkat ke tahap sewajarnya.

“Tambahan, Upko masih dilihat kurang pengaruh politik di Sabah dan masih bergelut menambah sokongan pengundi apabila hanya mempunyai satu kerusi DUN,” katanya.

Sementara itu, penganalisis Bilcher Bala berpendapat pelantikan Ewon mengetuai PH Sabah sebagai simbol kepada reformasi politik parti tersebut dalam mengangkat barisan kepimpinan muda.

“Transformasi politik PH ini perlu dipacu oleh Upko dengan menawarkan calon muda.

“Sudah tentu ia menjadi cabaran utama terutamanya memerlukan kerjasama kepimpinan veteran untuk menyokong penuh kepimpinan muda,” katanya.

Pada PRN September 2020, Upko bertanding 12 kerusi kebanyakannya di kawasan majoriti pengundi Kadazandusun dan Murut (KDM) menerusi kerjasama Warisan Plus yang turut dianggotai PH Sabah, ketika itu hanya dianggotai PKR, DAP dan Amanah.

Berikutan kekalahan Warisan Plus pada pilihan raya itu, Upko kemudian menyertai PH sebelum pertukaran kerajaan pusat selepas PRU 2022, yang turut menyaksikan pembentukan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH pada awal tahun lalu.

Penggal DUN Sabah dijangka tamat pada Oktober tahun depan, namun Ketua Menteri Hajiji Noor membayangkan PRN mungkin diadakan lebih awal.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *