BERITA UTAMA
Paras air Sungai Kelantan semakin naik, berisiko melimpah ke pusat bandar Kota Bharu

Paras air Sungai Kelantan semakin naik, berisiko melimpah ke pusat bandar Kota Bharu

KOTA BHARU – Paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja di sini semakin meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas, sekali gus menenggelamkan keseluruhan kawasan daratan di tambatan yang menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata air Sungai Kelantan telah melebihi paras bahaya dan berpotensi melimpah ke daratan.

Beliau berkata ketika ini hujan semakin lebat menyebabkan paras air sungai di kawasan hulu meningkat dan bersambung dengan Sungai Kelantan.

“Air yang mengalir dari kawasan hulu sungai menyebabkan Sungai Kelantan menerima lebihan air dan kita risau ia semakin meningkat kerana hujan berterusan.

“Saya minta orang ramai agar tidak menghampiri Sungai Kelantan, kerana dikhuatiri boleh hanyut disebabkan arus deras secara tiba-tiba,” katanya kepada Bernama.

Bacaan Sungai Golok di Rantau Panjang lepasi paras banjir dahsyat 2014

Tinjauan Bernama pada pagi ini mendapati paras air sungai berkenaan semakin hampir dengan daratan di pusat bandar Kota Bharu.

Selain itu arus sungai juga deras dan hampir menghanyutkan Pejabat Unit Marin APM Kelantan yang ditambat di tebing sungai berkenaan.

Seorang buruh Ahmad Nizam Ismail, 39, berkata beliau telah memantau sungai itu sejak pukul 8 pagi tadi, dan berasa amat bimbang sekiranya air sungai berkenaan melimpah ke daratan di pusat bandar Kota Bharu.

“Sebelum ini, paras air Sungai Kelantan pernah melimpah ketika banjir besar tahun 2014 yang menyebabkan pusat bandar lumpuh dan banyak kerosakan harta benda.

“Saya tidak kisah jika menghabiskan masa seharian di menara tinjau untuk memantau, kerana saya tidak mahu peristiwa banjir besar berulang kembali,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu seorang penjual kek Siti Fatimah Yaakub, 42, berkata setiap kali musim tengkujuh, orang ramai akan berkumpul di menara tinjau itu untuk memantau paras air sungai berkenaan.

“Ya, kami rakyat negeri ini bersatu untuk memantau paras air sungai itu, tidak kisah walaupun banyak masa terluang yang penting keselamatan kami terjaga.

“Kami tidak boleh menyerahkan tugas pemantauan sungai itu kepada pihak berkuasa sahaja kerana mereka juga perlukan bantuan kami. Kami amat berterima kasih kepada mereka, kerana siang malam menjaga keselamatan rakyat negeri ini,” katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga esok, dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *