CDA-ERT Ketereh, PKKM kerjasama urus mangsa banjir

CDA-ERT Ketereh, PKKM kerjasama urus mangsa banjir

KOTA BHARU – Pasukan Bantuan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDA-ERT) Ketereh, dekat sini bekerjasama dengan Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKKM) dalam operasi menyelamat mangsa banjir sekitar Melor sejak dua hari lalu.

Nik Saiful Adli Burhan Nik Saiful Adli Burhan

Kerjasama itu menggunakan pengalaman menguruskan bencana banjir sejak 2019 meliputi proses menyelamat mangsa, pemindahan dan pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Komander CDA-ERT Ketereh, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata, mengambilkira pengalaman lalu, PKKM telah menggunakan geran yang diperolehi daripada kerajaan beberapa tahun lalu untuk membeli sebuah bot fiber dengan kapasiti muatan empat orang.

Katanya, pasukan CDA-ERT Ketereh pula dihadiahkan sebuat bot penyelamat aluminium dengan enjin 15 kuasa kuda berserta treler tunda pada dua tahun lalu selepas mendapat anugerah Pasukan Sukarelawan APM Komuniti terbaik di peringkat kebangsaan.

“Awal Ogos lalu, CDA-ERT Ketereh dengan kerjasama PKKM telah melatih 30 penduduk kampung asas menyelamat dan pengurusan mangsa banjir serta pengendalian bot penyelamat.

“Kursus asas selama sehari itu sedikit sebanyak memberi pengetahuan kaedah menyelamat dan menguruskan PPS kepada penduduk yang terlibat dalam banjir setiap tahun,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Nik Saiful Adli yang juga peguam memberitahu, bot itu dikendalikan sejak dua hari lalu dengan bantuan pengendali bot terlatih di kalangan AJK PKKM iaitu Pengerusi PKKM, Nik Par Nik Hasan, Affendy Mohd Zain, Amidil Fitrie Rosli dan Ku Mat Ku Besar, manakala pengendali utama oleh Ketua Operasi CDA-ERT Ketereh, Lans Koperal Ahmad Akhram Naim Ahmad Sayuty.

Kata beliau lagi, pasukan penyelamat itu bertindak segera sebaik sahaja menerima maklumat limpahan air sungai Melor ke kampung daripada Jawatankuasa Bencana Daerah dan mula membahagikan tugas antara pengurusan PPS dengan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap sama ada menggunakan bot mahupun jentera tinggi seperti pacuan empat roda dan lori.

“Kerjasama ini telah meringankan beban petugas banjir apabila empat PPS dibuka pada kali ini berbanding hanya satu PPS pada tahun lalu menyebabkan kekurangan anggota di seluruh kawasan terlibat banjir,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *