KUALA LUMPUR – Cropmate Berhad (Cropmate), pemain utama dalam industri pembuatan baja konvensional dan khusus di Malaysia, mengumumkan Tawaran Awam Permulaannya (IPO) untuk orang awam Malaysia telah terlebih langganan sebanyak 84.88 kali.
IPO Cropmate sebanyak 260 juta saham biasa terdiri daripada Terbitan Awam sebanyak 210 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 50 juta saham yang melibatkan sebanyak 208.34 juta dipecahkan, iaitu 158.34 juta Saham Terbitan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih, termasuk 42.25 juta Saham Terbitan yang diluluskan untuk pelabur bumiputera oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); 50 juta Saham Tawaran diperuntukkan melalui penempatan persendirian untuk pelabur Bumiputera oleh MITI.
Sebanyak 51.66 juta saham IPO pula melibatkan 36.90 juta Saham Terbitan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai melalui pengundian, dengan peruntukan sama antara pelabur bumiputera dan bukan bumiputera; manakala 14.76 juta Saham Terbitan dikhaskan untuk permohonan oleh pengarah syarikat yang layak, pekerja Cropmate dan anak syarikatnya dan orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Orang Yang Layak).
Pengarah Urusan Cropmate Berhad, Lee Chin Yok berkata, syarikat menerima sejumlah 21,392 permohonan untuk 3,169,052,100 Saham Terbitan dengan nilai kira-kira RM633.81 juta telah diterima daripada orang ramai, yang mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 84.88 kali.
“Sambutan kukuh terhadap IPO kami mencerminkan kepercayaan yang diberikan pelabur dalam perniagaan dan hala tuju strategik Cropmate.
“Kami berterima kasih atas sokongan padu ini dan teruja untuk meneruskan rancangan meningkatkan operasi dan keupayaan perkhidmatan pelanggan kami bagi memenuhi permintaan semakin meningkat untuk baja,” katanya.
Beliau menambah, sambutan yang menggalakkan daripada pelabur menggariskan kepercayaan mereka terhadap potensi masa depan Cropmate.
Hong Leong Investment Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Pemilik Buku.
Cropmate Berhad dijadualkan membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Securities pada 5 Disember 2024. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252