KUALA LUMPUR – FlexidynamicHoldings Berhad (Flexidynamic) penyedia penyelesaian untuk industri pembuatan sarung tangan getah, mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (S3 TK2024) dengan merekodkan hasil sebanyak RM19.23 juta, peningkatan 249.43 peratus berbanding RM5.50 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya (S3 TK2023).
Pertumbuhan hasil didorong oleh lonjakan dalam sistem dan naik taraf peralatan untuk alat ganti, tangki penyimpanan dan proses, dan sumbangan daripada sub-kontrak untuk pembekalan dan pemasangan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) di Loji Rawatan Air Chupak, Jajahan Gua Musang, Kelantan.
Pasaran tempatan merupakan penyumbang hasil utama, menyumbang 97.13% daripada jumlah hasil, mencerminkan pemulihan kukuh dalam permintaan domestik.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul (9M TK2024), Syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM31.73 juta, meningkat 7.18% daripada RM29.61 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Manakala keuntungan selepas cukai bagi sembilan bulan mencecah RM1.88 juta, menunjukkan peningkatan ketara daripada kerugian RM0.91 juta pada tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan Flexidynamic Holdings Berhad, Tan Kong Leong berkata, suku ketiga TK2024 menggariskan kekuatan usaha kepelbagaian strategik dan kecemerlangan prestasi syarikat.
“Kami sangat teruja untuk melaporkan pertumbuhan hasil yang teguh dan peningkatan ketara dalam keuntungan, didorong oleh permintaan kukuh dalam pasaran domestik dan sumbangan daripada projek infrastruktur.
“Walaupun industri sarung tangan menghadapi cabaran berterusan, kami tetap optimis mengenai potensi jangka panjangnya, terutama berdasarkan permintaan global yang semakin meningkat,” katanya.
Kok Leong menambah, perkhidmatan pensterilan sinaran gamma yang dirancang dengan Gammatech Sdn. Bhd. (Gammatech) meletakkan syarikat untuk menerokai pasaran bernilai tinggi di luar tumpuan tradisional.
Flexidynamic turut mengumumkan keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk S3 TK2024 berjumlah RM0.64 juta, pemulihan yang luar biasa daripada kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM0.95 juta pada S3 TK2023.
Keuntungan selepas cukai melonjak kepada RM0.82 juta, meningkat 190.0% berbanding suku yang sama tahun lepas.
Peningkatan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh margin keuntungan kasar yang lebih tinggi daripada projek terpilih dan pengiktirafan aset cukai tertunda yang timbul daripada bayaran pendahuluan pelanggan.
Flexidynamic kekal optimistik mengenai prospek jangka panjang industri pembuatan sarung tangan, walaupun terdapat cabaran yang ditimbulkan oleh lebihan bekalan global dan rasionalisasi kapasiti.
Syarikat yakin peningkatan kesedaran dan permintaan kebersihan global dalam pasaran baru muncul dengan penggunaan sarung tangan yang rendah akan memacu pertumbuhan jangka panjang, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252