KOTA BHARU – Kes hamil luar nikah dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun di Kelantan telah menunjukkan trend penurunan dari 2021 hingga 2023, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dirujuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan menunjukkan daripada 146 kes hamil luar nikah pada 2021, jumlah berkenaan berkurang kepada 136 kes pada 2022 dan seterusnya turun kepada 61 kes tahun lepas.
“Bilangan kes khalwat di Kelantan turut mengalami penurunan iaitu 196 kes pada 2022, susut kepada 86 kes bagi 2023.
“Ini menunjukkan langkah kerajaan melaksanakan pelbagai program sama ada melalui pendidikan, peranan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita berserta pendekatan lain, memberi impak dalam menangani gejala sosial di Kelantan,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Isnin.
Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang berkata kerajaan negeri turut mengambil pendekatan menubuhkan jawatankuasa induk bagi menangani gejala sosial di Kelantan.
Beliau berkata jawatankuasa itu bukan hanya dianggotai agensi kerajaan negeri tetapi juga melibatkan agensi kerajaan Persekutuan termasuk polis, Jabatan Pendidikan dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri.
“Kita tidak memandang sepi isu gejala sosial di Kelantan dan kerana itu kita ambil pendekatan ini dengan membahagikannya kepada sembilan kluster,” katanya sambil menambah kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas untuk menangani isu berkenaan.
— BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252