BERITA UTAMA
Kemalangan di Setiu: Jenazah tiga beranak dikebumi dalam satu liang lahad

Kemalangan di Setiu: Jenazah tiga beranak dikebumi dalam satu liang lahad

KOTA BHARU – Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Sungai Lerek dekat Setiu, Terengganu, awal pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Maras di sini, malam ini.

Van membawa jenazah tiba di tanah perkuburan berkenaan kira-kira jam 9 malam selepas disembahyangkan di Masjid Telipot.

Pengebumian Allahyarham Kamaruddin Ibrahim, 55, isterinya Maimunah Che Mat, 54, dan anak perempuan mereka Nur Ardieana, 30, selesai sepenuhnya pada jam 9.45 malam ini.

Adik kepada Kamaruddin iaitu Hishamudin, 54, berkata jenazah ketiga-tiga mangsa tiba di Kota Bharu dari Setiu kira-kira jam 6 petang tadi.

“Saya bersyukur urusan pengebumian arwah abang dan keluarganya berjalan lancar walaupun sebelum itu hujan lebat.

“Terima kasih kepada pihak pengurusan van jenazah dari Setiu dan Besut yang membawa jenazah ahli keluarga saya hingga selamat tiba di Kota Bharu,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Hishamuddin berkata, ahli keluarganya kini berdoa untuk kesejahteraan seorang lagi anak pasangan itu iaitu Nur Azwa Shamimi, 21, yang kini kritikal di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Kami memohon doa daripada semua agar Nur Azwa Shamimi diberikan kekuatan dan dapat melepasi tempoh kritikal,” katanya

Kejadian pada jam 4.50 pagi tadi itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 53, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *