BERITA UTAMA
Kerajaan diarah kembalikan jam Swatch yang dirampas

Kerajaan diarah kembalikan jam Swatch yang dirampas

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan memulangkan 172 jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection, yang dirampas oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lepas.

Hakim Amarjeet Singh berpendapat bahawa KDN telah melanggar undang-undang dalam melakukan tindakan itu dan mengarahkan kerajaan memulangkannya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Tahun lepas, pegawai penguat kuasa KDN merampas jam tangan terbabit, termasuk daripada ‘Pride Collection’ yang menampilkan jam tangan warna pelangi, antara 13 dan 15 Mei.

Rampasan dibuat dalam serbuan di 11 kedai Swatch di Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah.

Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas warganet mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.

Swatch Malaysia kemudian memfailkan semakan kehakiman pada Ogos 2023 untuk mencabar tindakan kerajaan.

Pembuat jam tangan Switzerland itu mendakwa rampasan terbabit menyalahi undang-undang kerana jam tangan berkenaan tidak ditakrifkan sebagai satu bentuk ‘penerbitan’ di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam keputusan ringkas, Amarjeet berkata perintah larangan jam tangan itu hanya dikeluarkan dan diwartakan pada Ogos 2023, selepas rampasan pada Mei.

“Pemohon (Swatch) tidak melanggar mana-mana undang-undang (semasa rampasan),” tambah Amarjeet.

Walaupun mahkamah tidak memberikan perintah ganti rugi RM64,795, Amarjeet berkata Swatch boleh memohon ganti rugi jika jam tangan itu rosak.

Peguam Nizam Bashir mewakili Swatch Malaysia manakala Peguam Persekutuan Sallehudin Ali mewakili KDN.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *